Analisis: Da’ie materialistik vs pendakwah selebriti gila berfatwa

Dari Penulis

Pendakwah sebagaimana yang diketahui mempunyai peranan yang cukup besar dalam menyatukan ummah. Pendakwah juga bertindak selaku murabbi dan da’ie dalam mencerah, membimbing dan mendidik ummah agar menjadi hamba yang beriman kepada Allah.

Dewasa ini peranan segelintir pendakwah kelihatan semakin tersasar dari landasan dakwah yang sebenar. Mereka seakan-akan mula dijangkiti virus budaya popular selebriti, sehingga menunjukkan simptom-simptom yang kritikal, hingga memberi kesan yang sangat besar terhadap masyarakat umum.

Antara kesan yang paling ketara ialah timbulnya rasa permusuhan di kalangan pengikut-pengikut mereka, fitnah dan buruk sangka, kerana cuba mempertahankan hujah pendakwah yang mereka suka, tanpa meraikan pandangan daripada pendakwah-pendakwah lain.

Tidak sekadar itu, bahkan masyarakat umum juga menjadi keliru apakah pegangan yang harus mereka ikut. Ini dapat dilihat melalui beberapa isu yang menyerang masyarakat Islam antaranya, penggunaan kalimah Allah dalam kalangan agama Kristian, isu Ahli Sunnah wal Jamaah, bacaan qunut, tahlil, syiah, wahabi dan sebagainya.

Melalui isu-isu yang berlaku ini, dilihat segelintir pendakwah berlumba-lumba mengeluarkan hujah dan pendapat masing-masing, yang ada kalanya tidak seiring dan sehaluan dengan pandangan dari institusi-institusi agama seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, JAKIM dan sebagainya.

Ibarat bahtera yang mempunyai ramai nakhoda hingga menimbulkan kecelaruan, arahan mana yang perlu diikuti. Serangan virus budaya popular ini turut menyebabkan segelintir pendakwah mula terikut-ikut dengan rentak masyarakat. Dalam kuliah-kuliah mereka, lebih banyak diselitkan dengan unsur humor dan sindiran politik bagi menarik kehadiran pendengar.

Situasi ini dapat dilihat melalui ceramah-ceramah seorang pendakwah yang dihadiri hampir puluhan ribu orang setiap kali ceramah, sekalipun pengisiannya lebih banyak unsur humor, gelak tawa dan sindiran berbanding pengisian ilmu.

Percambahan hadis-hadis mauduq juga turut menular dalam masyarakat umum, apabila pendakwah yang tidak mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang ilmu terutama ilmu hadis turut memberi pandangan tanpa membuat kajian yang mendalam. Ini tidak lain bagi meraih populariti  agar dilihat lebih menyerlah berbanding pendakwah lain.

Sudah menjadi fitrah apabila seseorang individu itu popular atau bergelar ikon, sudah tentu mereka akan mempunyai pengikut yang tersendiri terutama di media sosial.

Oleh itu sebagai individu apatah lagi pendakwah, mereka harus mempunyai kestabilan dalam konteks kembali semula kepada konsep berdakwah. Sering kali bayaran dan kepopularan mengaburi mata yang menyebabkan mereka terpesong dari laluan dakwah sebenar.

Jangan hilangkan hala tuju dan nawaitu dalam berdakwah. Mungkin sebagai pendakwah kadang-kadang terlupa atau terlepas pandang ‘kenapa aku dipilih Allah untuk berdakwah’.

Jangan kelirukan ummah

Kita tidak nafikan, kewujudan pendakwah-pendakwah bertaraf selebriti adalah suatu perkara yang baik. Sudah pastinya juga mereka mempunyai pengikut-pengikut yang ramai atas platform mereka sebagai pendakwah yang dikenali.

Namun ada kalanya isu-isu yang berbangkit mengundang perbalahan antara masyarakat. Pendakwah-pendakwah selebriti ini mengeluarkan dalil dan fakta dalam sesuatu isu yang tidak selari dengan pandangan ulama muktabar atau fatwa yang dikeluarkan oleh badan yang berautoriti.

Perlu diingat, sekalipun ceramah di masjid mereka mempunyai pendengar, tetapi apabila berceramah melalui platform media, jumlah pendengar lagi ramai.

Justeru itu nawaitu pendakwah perlu jelas supaya pendapat pelbagai itu tidak mendatangkan kesan yang besar kepada masyarakat. Sekiranya majlis fatwa telah mengeluarkan keputusan bagi sesuatu isu, sebagai pendakwah yang mempunyai kredibiliti, mereka harus meraikannya.

Dalam Islam juga memang wujud perbahasan pandangan, tetapi dalam masa yang sama, perlu meraikan masyarakat awam. Jangan sampai mengelirukan mereka. Hanya kerana ingin menjadi popular di mata masyarakat, masing-masing ingin tunjuk pendapat dan ilmu mereka lebih baik, lebih hebat daripada pendakwah lain, sehingga hanya mengatakan pandangannya sahaja yang betul.

Sebagai individu yang dipilih sebagai pendakwah, mereka perlu mengambil kira latar belakang masyarakat awam, kerana jelas kefahaman mereka berbeza-beza hingga menjadi keliru dan huru-hara. Akhirnya berlaku perpecahan dalam masyarakat dek kerana hujahan ilmu mereka yang berbeza dengan keseluruhan ulama. Jika ini berlaku, pendakwah perlu kembali semula kepada konsep dakwah yang sebenar.  

Dan bagi masyarakat awam pula, mereka perlu bijak dalam menentukan apakah pegangan yang boleh diikut. Dalam perkara ini bukan pendapat atau hujah individu yang perlu dipertahankan, tetapi ambillah pegangan dari ijmak ulama seperti majlis fatwa. Ini kerana, sesuatu hukum yang telah diputuskan oleh majlis fatwa adalah melalui perbincangan dan perbahasan dari pelbagai cabang ilmu yang terdiri dari pelbagai ulama yang berautoriti. Wallahu a’lam

-Azrin Wahid adalah pengarang Al-Islam

____________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua wanita Indonesia maut, Honda CR-V terbabas rempuh surau sekolah

DUA wanita warga Indonesia maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V dinaiki mereka terbabas lalu merempuh surau...

More Articles Like This