“Maimunah yang berusia 66 tahun mencari keluarga kandung Cinanya.” Arwah nenek hanya bertemu saudara kandung selepas hampir 74 tahun terpisah

0
406

Sekeping gambar yang tersiar dalam akhbar berbahasa Cina sekitar 2004 bertajuk “Maimunah yang berusia 66 tahun mencari keluarga kandung Cinanya” telah menemukan seorang wanita dengan adik beradik kandung yang terpisah sejak tahun 1940-an.

Menurut perkongsian yang dikisahkan Uswatul Hasanah Amran di laman Facebook, arwah neneknya telah diberikan kepada pasangan Melayu dari Johor oleh sepasang suami isteri berbangsa Cina ketika berusia dalam lingkungan tiga ke empat tahun.

Jelasnya, keadaan itu disebabkan tentera Jepun ingin membunuh orang Cina dan lebih selamat sekiranya anak-anak kecil diserahkan kepada orang Melayu ketika itu.

“Ini adalah gambar arwah nenek saya yang berbangsa Cina bersama keratan akhbar yang disiarkan sekitar tahun 2004.

“Arwah nenek telah diberikan kepada pasangan Melayu dari Johor oleh sepasang suami isteri berbangsa Cina dari Pontian sekitar tahun 1940an ketika usianya dalam lingkungan 3/4 tahun. Kemudiannya, mereka berpindah menetap di Tanjung Karang, Selangor dan nenek membesar di sana. Dikatakan pada waktu itu, Jepun hendak membunuh orang-orang Cina, maka lebih selamat sekiranya anak-anak mereka diserahkan kepada orang Melayu pada ketika itu.

“Nenek dibesarkan dengan budaya Melayu dan boleh berbahasa Banjar serta tidak tahu langsung tentang bahasa dan budaya orang Cina sehinggalah dia dewasa. Nenek juga tidak suka akan kenyataan bahawa dia adalah anak angkat kerana merasakan seolah-olah dia adalah anak yang telah ‘dibuang’ oleh keluarga kandungnya.

“Lebih kurang pada tahun 2014, anak-anak nenek termasuklah ibu saya mengambil ikhtiar untuk mencari keluarga kandung nenek yang berbangsa Cina. Pelbagai usaha dilakukan termasuklah menguar-uarkan kisah ini di laman akhbar Cina seperti yang saya terterakan.

(Nenek bersama atuk dan dua anak lelakinya)

“Setelah akhbar disiarkan, kami di pihak keluarga telah menerima banyak panggilan telefon yang mendakwa bahawa nenek saya adalah adik mereka, kakak mereka dan sebagainya. Ada yang telefon sambil menangis2 kerana terlalu sedih, ada yang telefon dengan berbahasa Cina yang kami tidak faham sepatah haram pon dan ada yang berjumpa keratan akhbar setelah bertahun disiarkan dengan memberi dakwaan yang sama walaupun ‘keluarga kandung’ nenek telah ditemui.

“Ya, ‘keluarga kandung’ nenek telah berjaya dijejaki namun tiada bukti scientific dilakukan seperti ujian DNA kerana masing2 sudah meniti hari-hari di usia tua mereka. Hanya perceritaan kedua-dua belah pihak dan raut wajah yang sangat iras menjadi bukti sandaran tautan silaturahim yang terjalin antara keluaga saya dan keluarga kandung nenek. Sekian.

“Al-Fatihah buat arwah nenekku, Maimunah binti Hassan @ Abdullah (1937-2018).”

Jelasnya lagi, arwah nenek pernah mendapat anugerah Ibu Tunggal kerana berjaya membesarkan tujuh anak selepas pemergian suami.

“Arwah nenekku yang sangat hebat. Arwah atuk, bekas pesara buruh telah pergi sekitar tahun 1980an ketika anak2 baru menginjak umur remaja dan dewasa. Dalam lingkungan tahun 1990an, nenek pernah mendapat anugerah ibu tunggal dan diwawancarakan dalam rancangan TV kerana 7 orang anak-anak nenek telah ‘berjaya’ dalam kehidupan di sebalik kesusahan dan kesempitan hidup yang mereka lalui dahulu.”

Sumber : Facebook Uswatul Hasanah Amran