Drama Cina jadi ilham, Nomad tampil dengan single Tanda Setia

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

SEJAK muncul dalam program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), nama Nomad kini semakin dikenali dan menjadi sebutan pengikut muzik tanah air.

Biarpun pembabitannya dalam program tersebut hanya sekadar bertahan di minggu kelima, namun ia nyata sudah cukup memuaskan jejaka berusia 32 tahun ini untuk kembali merancakkan persada seni.

Enggan menunggu lama untuk muncul dengan karya terbaharu, Nomad kini tampil dengan single berjudul Tanda Setia yang merupakan hasil ciptaannya sendiri.

Single Tanda Setia sebenarnya sudah terperam lima tahun dalam simpanannya. Dan baharu tiga tahun lalu, Nomad atau nama sebenarnya Nur Mohd. Alieff Ayub berkesempatan untuk merakamkan lagu berkenaan.

“Tanda Cinta adalah penanda aras untuk saya menonjolkan kebolehan dalam bidang penciptaan lagu. Saya masih lagi mengekalkan muzik balada dalam lagu ini kerana genre itu sudah sebati dalam diri saya.

“Lagipun pada pendapat saya, lagu berentak balada ini lagi senang dihayati dan difahami,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Tanda Setia baru-baru ini.

Ilham untuk menghasilkan lagu Tanda Setia diperoleh ketika dia sedang menonton sebuah drama Cina yang merupakan rancangan kegemarannya.

“Kisahnya sungguh menarik sehingga melekat dalam benak fikiran. Jadi saya rasa terpanggil untuk mencari ilham bagi menjadikan sebuah melodi dan lirik berdasarkan drama tersebut.

“Jalan cerita drama itu memberi kesan mendalam kepada saya. Ia mengenai kisah suami dan isteri yang sudah berusia tetapi pada akhirnya terpaksa akur untuk terima hakikat pemergian pasangan mereka.

“Setiap kali sambutan hari lahir, si suami menyediakan kek untuk menyambut hari lahir sendiri tanpa kehadiran insan tersayang. Dia tetap akan sambut hari lahir sendirian dan berharap semuanya akan segera berakhir. Bayangkan dia akan berhadapan dengan penantian begitu selagi ada hayat,” ujarnya.

NOMAD berharap Tanda Setia diterima baik oleh peminat yang menanti buah tangan terbaharu daripadanya

Lebih menarik lagi, proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ single terbabit telah dilakukan di Nashville, Amerika Syarikat dengan kos perbelanjaan bernilai RM 6500.

“Saya rakam lagu ini di studio Rumi Music Lab (RML) yang dimiliki oleh komposer Alfa Booty. Saya tahu orang akan tanya mengapa lagu ini lama sangat dalam simpanan. Seperti mana yang semua sedia maklum, saya ‘menyepi’ seketika daripada arena muzik sebelum ini, jadi hasrat itu tertangguh seketika.

“Menariknya, lagu ini telah dihantar ke sebuah studio di Nashville, Amerika Syarikat untuk menjalani suntingan akhir. Saya gembira dengan hasilnya dan berharap peminat juga akan memberikan sokongan kepada Tanda Setia,” katanya penuh berharap.

Tanda Setia sudah mula dilancarkan sejak pertengahan Disember tahun lalu dan video muziknya juga sudah boleh ditonton di saluran Youtube Indigital Music.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Lancar hab baharu di Cyberjaya, TV AlHijrah janji kualiti siaran lebih mantap

STESEN televisyen Islamik utama negara, TV AlHijrah, melakar satu lagi penanda aras penting dalam landskap penyiaran tempatan apabila merasmikan...

More Articles Like This