Sidang akhbar Mohamed Nazri Aziz 12 Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Positif dari sidang media?

Itu masih persoalan tapi yang pasti, selepas sidang akhbar Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz 12 Januari lalu, salah seorang penulis blog yang hadir pada acara itu memaklumkan beliau didapati positif COVID-19.

Berikutan itu, Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas segera melakukan ujian saringan COVID-19.

Dan hasilnya, bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu disahkan dijangkiti COVID-19.

Memetik laporan portal MalaysiaKini, Mohamed Nazri berkata, beliau membuat ujian saringan selepas kontak rapat dengan seorang pesakit COVID-19 menerusi sidang media yang dilakukannya beberapa hari lalu.

“Zaharin (Mohd Yasin), masukkan dalam blog dan kata dia positif Covid-19 dan lepas saya baca blog itu.

“Saya pun buatlah ujian dan sah saya Covid-19 positif semalam,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pada 12 Januari lalu, Mohamed Nazri melakukan sidang media di Ibu Pejabat UMNO yang turut dihadiri oleh beberapa pemberita serta Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Susulan empat hari selepas itu, Zaharin, yang merupakan bekas setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak yang hadir dalam sidang media tersebut mengesahkan dirinya dijangkiti COVID-19.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata dia kini sedang menjalani kuarantin di Hospital Raja Perempuan Zainab di Kota Bahru, Kelantan bermula semalam.

“Jadi semalam saya sudah mula kuarantin di Hospital Zainab di Kota Bahru,” katanya lagi.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) sebelum ini meminta supaya sidang akhbar dilakukan secara dalam talian sepenuhnya bagi mengelakkan risiko pekerja media dijangkiti virus berkenaan.

Setakat ini, tiga anggota Kabinet sudah dilaporkan positif COVID-19 selain beberapa wakil rakyat dari pelbagai parti turut dijangkiti virus berkenaan.