Gambar hiasan

SUATU ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta serta kesenangan yang banyak kepadanya. Ini kerana isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini dan sering memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada teman-temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki lain.

Begitu juga dengan isteri yang kedua. Dia isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang kaya menghadapi masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Isteri kedua ini selalu menolong dan mendampingi suaminya ketika melalui saat-saat yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama., yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga pedagang. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan serta usaha pedagang tadi. Tetapi si pedagang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya, namun pedagang ini tidak begitu mempedulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Pedagang kaya ini mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata di dalam hati, “Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa sedihnya kerana selepas ini aku terpaksa hidup sendirian.”

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian bertanya pada isteri keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau pakaian dan perhiasan yang indah. Tidak lama lagi aku akan mati, mahukah kau mendampingi dan menemaniku?”

Isteri keempatnya terdiam. “Tentu saja tidak!” jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja. Jawapan itu sangat menyakitkan hati pedagang.

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya. “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan tidak lama lagi hidupku akan berakhir. Mahukah kau mengikutku dan menemani akhir hayatku?”

Isteri ketiganya menjawab, “Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati.” Pedagang terkejut.

Lalu, pedagang bertanya kepada isteri keduanya, “Aku selalu mengadu padamu setiap kali menghadapi masalah dan kau sering membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?”

Si isteri kedua menjawab perlahan, “Maafkan aku… aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu.”

Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, “Aku tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu. Aku akan ikut ke mana pun kau pergi.”

Si pedagang menoleh ke arah suara tersebut dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang kelaparan. Timbul rasa kesal yang amat sangat di hati pedagang kerana tidak mencintai dan sering mengabaikan isteri pertamanya itu.  

“Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan aku biarkan kau seperti ini, isteriku,” kata pedagang kaya dengan linangan air mata penyesalan.

Pembaca sekalian, sesungguhnya apa yang berlaku kepada pedagang kaya itu sama dengan apa yang kita lalui. Kita mempunyai empat orang isteri dalam hidup ini;

ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi begitu saja apabila kita meninggal.

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan berpindah kepada orang lain. Waktu beredar, mereka akan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka takkan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai di kubur sahaja mereka akan menemani kita.

ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amalan kita. Kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi ke mana pun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita di akhirat kelak.