DATUK Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak disifatkan antara pemimpin PKR yang terus setia dengan perjuangan reformasi ditampilkan parti berkenaan.
Kesetiaan itu terus terbukti walaupun berdepan pelbagai halangan dan cabaran sama ada sebelum atau selepas PKR membentuk kerajaan.
Penasihat NGO Pertubuhan Kebajikan Impak Madani (Impak Madani), John Ooh Sin Hwa berkata, Farhash terus kekal bersama prinsip reformasi diterapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, kata beliau, Farhash juga tetap membantu dan bergerak bersama Anwar menguruskan negara walaupun ada pihak memilih meninggalkan perjuangan tersebut.
“Di kala ada yang lari dan meninggalkan medan perang, Farhash kekal setia bersama Anwar dan terus menyemarakkan api reformasi.
“Ketika Anwar menjadi Perdana Menteri, Farhash turut menjayakan usaha melaksanakan reformasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan pelbagai pihak mengenai peranan Farhash dalam perjuangan reformasi yang diasaskan Anwar sejak sekian lama.
Sebelum ini, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Nor Syamimi Mohamed Adnan berkata, Farhash merupakan salah seorang individu yang kekal bersama perjuangan reformasi dan Anwar Ibrahim ketika melalui pelbagai cabaran politik.
Ujar Nor Syamimi, walaupun berlatar belakangkan ahli perniagaan yang berjaya sebelum lebih aktif dalam politik, penglibatan Farhash dalam PKR bukan untuk mengejar kedudukan atau kekayaan, tetapi kerana keyakinan terhadap agenda reformasi yang diperjuangkan oleh Anwar.
Mengulas lanjut, Ooh Sin Hwa berkata, di sebalik pelbagai berita negatif mengenai Farhash yang disebarkan pihak tertentu namun hakikatnya beliau telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu masyarakat dalam kerja kebajikan yang lebih memberikan impak daripada janji kosong.

