KERAJAAN Persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Mengulas mengenai perkembangan terkini institusi diraja Negeri Sembilan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu mengikut saluran yang sah mengikut Perlembagaan.
Menurut Perdana Menteri, ia bagi mengelakkan berlaku keresahan dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, krisis tersebut sudah tentu menggusarkan kerana institusi raja mempunyai peraturan, keadah dan cara kemuliaannya.
Katanya, tindakan menggugurkan atau memakzulkan mana-mana raja akan memberi implikasi besar terhadap keamanan negara.
“Kalau digugat sebegini rupa, ia (menyampaikan) mesej yang sangat tidak baik. Saya tidak menafikan hak siapa-siapa mengikut jalur undang-undang dan Perlembagaan negeri tetapi hujah itu harus kuat.
“Menggugurkan dan memakzulkan mana-mana raja akan memberi implikasi yang sangat besar bagi negara dan keamanan negara, sebab itu kita memandang berat,” katanya.
Pada masa sama, Anwar menyifatkan tindakan membuat pengisytiharan berkaitan isu itu di sebuah hotel menjejaskan imej dan identiti raja.
Walaupun tidak terlibat secara langsung, Perdana Menteri menyifatkan Kerajaan Persekutuan harus memberi nasihat kepada Raja-Raja Melayu.
Justeru, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan komited mempertahankan kedaulatan institusi diraja di tanah air.
“Terutama bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia, sistem raja ini bukan hanya namanya, tetapi kemuliaannya, beberapa kaedah dan peraturannya. Sebab ini kita tetap pertahankan kedudukan, kemuliaan dan kedaulatan raja,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka, sebentar tadi.
Pemasyhuran itu diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
Pemasyhuran itu bagaimanapun dijangka menghangatkan lagi krisis pertikaian takhta di Negeri Sembilan.
Pada April lalu, empat undang, termasuk Datuk Mubarak Thahak (Sungai Ujong) yang kedudukannya dipertikai, mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun menegaskan pemecatan Tuanku Muhriz tidak sah dan tidak diiktiraf atas alasan Mubarak tiada kuasa sah sebagai Undang.

