Mungkin musim PKP ketika ini banyak masjid atau musolla yang ditutup dan tidak dibenarkan untuk sebarang aktiviti keagamaan atau solat berjamaah. Namun jika dibuka kelak dan anda punya kesempatan untuk ke masjid atau musolla, pastikan anda tidak meninggalkan solat sunat ini.

Pernahkah anda mendengar solat sunat tahiyyatul masjid? Solat ini didirikan apabila kita masuk sahaja ke dalam masjid, sama ada untuk bersolat atau tidak. Tujuan utama dianjurkan mendirikan solat ini, adalah sebagai penghormatan dan memuliakan rumah Allah, yang penuh dengan keberkatan dan kesuciannya.

Sementelah lagi, mengerjakan solat tahiyyatul masjid mempunyai fadilat yang besar apabila didirikan, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Uthman bin Affan r.a.

“Aku telah melihat Baginda s.a.w. berwuduk, sedang beliau berada di tempat duduk ini, maka beliau memperelok lagi wuduknya kemudian bersabda, “Sesiapa berwuduk seperti cara wuduk ini, kemudian dia pergi ke masjid lalu dia solat dua rakaat, kemudian baru dia duduk, akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”  Nabi s.a.w. menyambung lagi, “Janganlah kamu tertipu (dengan tarikan syaitan agar terus duduk tanpa solat terlebih dahulu). HR Bukhari

Hukum Solat Tahiyyatul Masjid 

Hukum solat tahiyyatul masjid adalah sunat muakkad (dituntut). Namun, ada juga yang meletakkannya sebagai wajib, sebagaimana yang dijelaskan dalam riwayat Abu Qatadah as-Sulami, Baginda s.a.w bersabda,

“apabila salah seorang dari kamu masuk masjid, maka hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat sebelum ia duduk”

HR Bukhari & Muslim

Terdapat juga riwayat lain yang menyatakan, “Apabila salah seorang dari kamu masuk masjid, maka janganlah duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat.” HR Bukhari

Menurut imam Syafie, solat tahiyyatul masjid tidak makruh, sekalipun dilakukan pada waktu-waktu terlarang untuk solat, seperti selepas solat Asar, selepas solat Subuh atau waktu-waktu lain. Oleh yang demikian, setiap kali masuk ke dalam masjid, hendaklah mengerjakan solat dua rakaat tanpa mengira waktu yang halal atau yang haram.

Seandainya masuk ke masjid semata-mata untuk lalu, atau hanya sekejap sahaja, boleh tidak mendirikan solat sunat. Namun hendaklah digantikan dengan mengucapkan, “Subhanallah Walhamdulillah Walaa Ilaha Illah Wallahu Akbar.” sebanyak empat kali.

Masuk Masjid Ketika Imam Membaca Khutbah

Apabila masuk ke masjid ketika imam sedang menyampaikan khutbah Jumaat, atau hari raya, maka hendaklah dia tidak terus duduk terlebih dahulu, sehingga dia mengerjakan solat dua rakaat, sekalipun mendengar khutbah itu adalah perkara yang diberatkan.

Jabir bin Abdillah pernah bercerita, pada hari Jumaat, Sulaik al-Ghatfani datang ke masjid dan terus duduk, sedang Rasulullah s.a.w menyampaikan khutbah. Maka Nabi s.a.w. berkata, “Wahai Sulaik, berdirilah dan kerjakanlah solat dua rakaat, dan ringankanlah dalam mengerjakannya.”

Seterusnya Baginda s.a.w. bersabda,

“Apabila seseorang di antara kamu datang ke masjid pada hari Jumaat, ketika imam sedang membaca khutbah, maka hendaklah ia mengerjakan solat dua rakaat dan ringankanlah dalam mengerjakannya.” HR Bukhari 

Gugur Solat Tahiyyatul Masjid

Ketika seseorang masuk ke masjid, azan sedang atau sudah dilaungkan, maka tidak perlu baginya mendirikan solat sunat tahiyyatul masjid, tetapi yang menjadi keutamaannya adalah solat sunat rawatib. Contohnya dalam waktu Zuhur, azan sudah dilaungkan, maka memadai didirikan sunat Qabliyah Zuhur sahaja.

Begitu juga, apabila masuk ke dalam masjid sedang iqamat dilaungkan, maka hendaklah dia terus masuk dalam barisan solat. Dengan demikian itu, tidak perlu lagi menunaikan solat sunat rawatib atau tahiyyatul masjid.

Dalil yang menyatakan tentang keguguran ini ialah dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda,

“Apabila iqamat solat telah berkumandang, maka tidak ada solat (yang harus dikerjakan) melainkan solat yang wajib.” (HR Muslim)

Cara Solat Tahiyyatul Masjid

Mendirikan solat sunat dua rakaat seperti biasa dengan satu salam. Lafaz niatnya, “Usolli sunnatan tahiyyatul masjid rakaataini lillahi taala.” Ertinya, “Sahaja aku solat sunat tahiyyatul masjid, dua rakaat kerana Allah Taala.”