BAPA kepada penyanyi Datuk M.Nasir iaitu Mohamed Sam meninggal dunia pada pukul 7.30 pagi tadi.
Berita sedih itu dimaklumkan oleh isteri M.Nasir, Datin Marlia Musa menerusi entri di Instagram sebentar tadi.
“Ayahanda kesayangan kami, Haji Mohamed Sam telah berpulang ke rahmahtullah pada pagi ini. Semoga Allah mencucuri rahmatnya,” tulisnya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 96 tahun akibat sakit tua di kediamannya di Singapura.
Menerusi laporan Astro Awani, ekoran pandemik Covid-19, mereka sekeluarga tidak dapat pulang ke Singapura untuk memberikan penghormatan terakhir.

“Kami sudah berusaha untuk membuat permohonan untuk pulang ke Singapura, namun pihak berkuasa tidak mengizinkan akibat Covid-19.
“Abang (M.Nasir) juga reda dan akur bahawa keadaan semasa benar-benar tidak mengizinkan,” katanya yang kali terakhir bertemu dengan Allahyarham kira-kira setahun lalu sebelum Covid-19 menular.
Jenazah Allahyarham bapa mertuanya sedang diuruskan untuk pengebumian oleh adik-beradik M.Nasir seramai lapan orang yang menetap di Singapura.


