SELEPAS tujuh tahun dikeluarkan, lagu Chentaku nyanyian Zizan Razak bersama SonaOne terbitan Rocketfuel Entertainment telah berjaya meraih satu billion tontonan di TikTok.
Lagu yang turut mendapat sentuhan Joe Flizzow ini juga telah tular sehingga menjadi sohor kini (trending) di laman media sosial tersebut.
Menerusi perkongsian di laman sosial Instagram Rocketfuel Entertainment, Zizan menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga kerana lagu ini berjaya menambat hati peminat tanpa mengira latar belakang dan golongan biarpun sudah beberapa tahun dilancarkan.
“Walaupun dah bertahun-tahun lamanya, lagu Chentaku masih lagi relevan dan diterima tak kira umur dan golongan.
“Saya nak mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang buat konten dengan menggunakan lagu Chentaku.
“Hasil daripada konten-konten yang dibuat, lagu itu berjaya mencecah satu bilion (tontonan) yang merupakan satu angka yang sangat besar” katanya teruja.
Disamping itu, menerusi laman Instagram, Rocketfuel Entertainment turut berkongsi potongan klip video TikTok para ‘influencer’ dan selebriti yang turut menggunakan lagu Chentaku dalam video mereka.
Antara yang menggunakan lagu tersebut ialah Mimi Lana, Syafiq Kyle, Merqeen, Leona, Imranbard, Sherry Alhadad, Nabila Razali malah Alan Walker dan ramai lagi.
Dalam masa yang sama, video lirik lagu ini juga sudah menghampiri 10 juta tontonan pada saluran YouTube Rocketfuel Network selepas tujuh tahun dilancarkan.
Chentaku dilancarkan pada 2017 dan ianya mengisahkan seorang jejaka yang jatuh cinta pandang pertama dan berusaha untuk mendekati gadis tersebut.
Bagaimanapun, cinta itu hanya dari jauh dan rasa malu menyelubungi diri masing-masing tatkala pertama kali bertemu.
Lagu ini telah dicipta oleh SonaOne dan Joe Flizzow bertindak sebagai penerbit eksekutif. Lirik lagu ini pula telah ditulis sendiri oleh Zizan bersama Joe.
Pendengar boleh terus strim lagu Chentaku di semua digital platform seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music serta terus menghasilkan kandungan video pada TikTok dan Instagram Reels.

