“Hamdee tidak perlu ibu baharu kerana dia sudah ada ibu kandung sendiri. Buat masa ini, saya penjaga dan akan bergelar bapa angkat selepas dia berusia 2 tahun,” demikian kata penyanyi Hafiz Hamidun ketika ditanya soal mencari ibu baharu untuk anak angkatnya, Hamdee Hafiz yang berusia 11 bulan.
Menurut penyanyi dan juga komposer itu lagi, Hamdee sudah memiliki ibu bapa kandung dan seandainya dia bertemu jodoh satu hari nanti, ia tetap tidak akan dapat menggantikan tempat seorang ibu yang melahirkan anak sendiri.
“Hamdee, dia masih ada ibu bapa dan tak mungkinlah kalau saya berkahwin, saya kena ajar dia cakap ‘ini ibu Hamdee’ sedangkan dia sudah ada ibu kandung sendiri yang mana saya hormatinya.
“Saya tak boleh pisahkan Hamdee dengan keluarga kandung. Lagipun saya rasa dia tidak perlu ibu baharu kerana ahli keluarga saya termasuk adik-beradik dan ibu bapa menyayangi Hamdee seperti darah daging sendiri.
“Ibu untuk Hamdee tak penting, tapi mencari isteri untuk saya itu yang paling penting sebenarnya. Apa-apa pun saya serahkan soal jodoh pada takdir,” katanya kepada URTV.

Hafiz,37, ditemu bual pada sidang media secara maya bagi mempromosikan album zikir terbaharunya berjudul Marhaba, baru-baru ini.
Sebelum ini, Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan kosmetik, Joy Revfa pada 1 Mei 2017 namun mahligai yang dibina terkandas di tengah jalan apabila mereka sah bercerai beberapa bulan kemudian.
Pada Mac tahun lalu, penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu berunsur kerohanian itu berkongsi berita tentang dia kini penjaga kepada seorang bayi lelaki yang ketika itu berumur dua bulan di Instagram.
Sementara itu, bercakap soal album Marhaba, Hafiz akui berpuas hati dengan hasil yang dipersembahkan dalam karya terbaharunya walaupun mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.
Menariknya lagi, album yang mengandungi 13 lagu zikir selain boleh dimuat turun di platform digital, ia juga boleh dibeli dalam bentuk abum fizikal.
Meskipun sebilangan penyanyi kini memilih untuk tidak mengeluarkan album fizikal memandangkan pasaran industri muzik tidak begitu memberangsangkan, namun lain pula pendiriannya bagi Hafiz.

“Saya jangkakan mungkin dalam tempoh masa dua tahun pasaran album fizikal masih ada peminatnya dan saya rasa ada juga yang suka membeli cakera padat (CD) pada era sekarang.
“Saya suka mendidik orang untuk membeli CD kerana kualitinya lebih baik berbanding kalau kita dengar di platform digital yang mana kualitinya sudah dimampatkan.
“Saya tiada paksaan untuk orang nak dapatkan album fizikal atau secara platform digital. Suka untuk saya kongsikan yang album Marhaba sudah terjual melebihi dari 3000 salinan walaupun terdapat ketidakpastian industri muzik global akibat wabak Covid-19,” ujarnya.
Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi