KUALA LUMPUR – ‘’Kami tahu siapa anda. Kami prihatin terhadap negara kami. Kami tidak maafkan, kami tidak lupa, nantikan kami.”
Itulah antara isi kandungan amaran kedua sekumpulan penggodam yang menggelar diri “Anonymous Malaysia” yang akan melancarkan serangan siber ke atas laman web kerajaan dan aset dalam talian yang dinamakan #OpsWakeUp21.
Portal Free Malaysia Today (FMT) melaporkan, dalam video 3 minit 17 saat, satu suara latar berkata, sejak 2015, penipu terus menipu rakyat melalui e-mel, panggilan telefon, media sosial dan WhatsApp, termasuk menawarkan wang kepada rakyat serta mengugut mereka.
Kata suara itu, puncanya disebabkan pelayan kerajaan dan swasta yang mengandungi data sedemikian digodam serta dibocorkan, sebelum dijual kepada pihak ketiga.
“Kami tahu siapa anda. Kami prihatin terhadap negara kami,” menurut rakaman suara itu sambil menambah, jika tiada tindakan diambil, netizen akan melakukannya.
Selasa lalu, kumpulan itu dilaporkan berikrar akan melancarkan serangan siber ke atas laman web kerajaan dan aset dalam talian melalui #OpsWakeUp21.
Kumpulan itu berkata, serangan siber itu akan menjadi “wake-up call” buat kerajaan yang dikatakan untuk membalas dendam terhadap pelanggaran data dan penjualan maklumat peribadi orang ramai.
Bagaimanapun polis berkata, mereka belum menerima sebarang laporan laman web kerajaan digodam susulan ancaman sebuah kumpulan dan Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan kegiatan seumpama itu dapat dibendung.

