KUALA LUMPUR – Hari ini merupakan minggu ketiga umat Islam di kebanyakan negeri tidak dapat menunaikan solat Jumaat berikutan bilangan jemaah dihadkan pada jumlah minimum susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Walaupun demikian, tinjauan UTUSANTV di beberapa masjid, madrasah dan surau Jumaat di sekitar Kuala Lumpur mendapati masih ada individu yang hadir.
Sedar hanya jemaah yang dibenarkan jawatankuasa sahaja boleh memasuki ruang solat, namun mereka tetap mahu menunaikan ibadah itu walau dari luar pagar masjid.


Bahkan ada juga jemaah yang sanggup bersembahyang di bawah terik matahari.
Bagi seorang jemaah Surau Medan Idaman, Setapak, Abdul Rahman Arshad, 52, beliau memohon pihak berkuasa dapat melonggar bilangan jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat.
“Saya merayu, tolong benarkan lebihkan sikit jumlah jemaah untuk solat Jumaat, kasihan mereka, ada yang sembahyang tepi longkang dan ada juga sembahyang atas rumput, tempat pejalan kaki dan di bawah panas terik,” katanya.
Seorang lagi jemaah, Muhamad Arshad Halim, 32, berkata, dia yang datang seawal jam 12 tengah hari, untuk mendapatkan tempat yang redup dan bersih di luar kawasan masjid.


“Kaki lima masjid ni untuk pejalan kaki, tapi kalau saya lambat datang, pejalan kaki ni penuh, takut tak dapat solat Jumaat,” katanya ketika di temui di Masjid Taman Sri Rampai.
Baca artikel berkaitan: Perlis benar ahli jemaah maksimum solat fardu di masjid
Jemaah masjid: Melaka benarkan hingga maksimum 500 orang
Seorang lagi jemaah yang ditemui, Abu Hurairah Syahir, 46, berkata, SOP yang lebih ketat bukan isu asalkan jumlah jemaah untuk solat Jumaat dapat ditambah.

“Kami akan ikut SOP, saya juga minta kalau boleh semua masjid buka lah ruang solat fardu untuk asnaf atau penghantar makanan untuk solat. Banyak masjid dan surau tutup, susah juga kami nak sembahyang,” ujarnya.

