Pernahkah anda tiba-tiba mengalami situasi seakan-akan pernah anda alami sebelum ini? Ketika anda cuba untuk mengingatinya bila dan di mana situasi itu terjadi namun anda gagal mengingatinya. Jika pernah, itulah namanya deja vu.

Filem Deja Vu yang diterajui oleh aktor Denzel Washington adalah contoh jelas gambaran tentang deja vu. Dia yang memegang watak sebagai pegawai penyiasat bernama Doug Carlin ditugaskan menyiasat kejadian letupan feri yang meragut ratusan nyawa.

Teruja untuk menyelesaikan kes tersebut dia sanggup meletakkan dirinya ke dalam situasi kejadian untuk bersama merasai dan melalui pengalaman yang dihadapi oleh seorang wanita bernama Claire Kuchever, yang merupakan antara mangsa yang terkorban dan menjadi subjek utama siasatannya.

Lakonan mantap Denzel Washington dalam filem De Javu adalah contoh jelas bagaimana situasi De Javu berlaku

Filem berbentuk aksi fiksyen ini memaparkan teknologi yang kononnya dapat ‘keep track’ apa yang telah seseorang lalui dalam hidupnya sebelum ini. Melalui teknologi tersebut Doug berusaha untuk menyelesaikan kes itu dan seterusnya menyelamatkan nyawa Claire sehingga meragut nyawanya sendiri.

Di akhir cerita Claire dipertemukan semula dengan Doug tetapi situasinya berbeza di mana Claire mengenali Doug manakala Doug pula sebaliknya. Sungguhpun begitu Doug merasakan seperti pernah bertemu dengan Carlin cuma tidak tahu bila dan di mana.

Asal kata Deja Vu

Deja vu berasal daripada bahasa Perancis yang bermaksud harfiah (already seen) iaitu pernah melihat sebelumnya. Membicarakan tentang deja vu, sudah semestinya ada pelbagai pandangan dikemukakan sama ada dari sarjana barat atau Islam. Teori-teori yang mereka datangkan cukup banyak, namun sejauh mana kebenarannya perlu diperhalusi.

Dari sudut pandang Islam, deja vu dikaitkan dengan roh dan mimpi. Kerana itu pengalaman deja vu seringkali tidak dapat ditafsirkan dan dijelaskan dengan tepat. Ia seolah-olah satu lintasan dalam kotak memori kita menyatakan situasi ini pernah kita alami. Atau sesuatu tempat itu pernah kita kunjungi.

Tiada yang mustahil apabila kita mengaitkan deja vu dengan roh terutama merujuk kepada surah az-Zumar ayat 42, itu kata Hasrul Nizam tenaga pengajar Sri Ayesha Islamic School memulakan bicara.

Baginya firman Allah S.W.T. dalam surah tersebut dengan jelas menyatakan ketika sedang tidur roh akan keluar dari tubuh dan kembali semula. Manakala bagi yang sudah mati, rohnya akan ditahan Allah.

Sukar untuk menjelaskan apakah itu sebenarnya De Javu. Namun yang pasti setiap orang pasti pernah mengalaminya.

Perkaitan dari ayat ini terdapat satu doa tidur yang sering dibaca oleh para ulama iaitu:

“Wahai Tuhanku, aku meletakkan diriku di sisi  Mu. Jika diriku ini dimatikan maka ampunilah aku. Dan jika Engkau kembalikan roh itu, maka jagalah roh itu sepertimana Engkau menjaga orang-orang yang soleh.”

Kedua-dua ayat al-Quran dan doa ini menjadi hujah menyatakan bahawa roh memang akan keluar berterbangan saat manusia tidur. Pun begitu perihal tentang roh hanyalah sedikit pengetahuan yang Allah berikan. Boleh jadi benar roh yang kembali ke tubuh membawa pengalamannya ke jasad sehingga kita merasai pengalaman deja vu. Namun sejauh mana untuk membuktikannya adalah sukar.

Itu menepati dengan ayat 85 dari surah al-Isra bila mana Baginda s.a.w. ditanyakan tentang roh oleh kaum Yahudi maka Allah menurunkan wahyu-Nya dengan berfirman,  

“Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh. Katakanlah roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.”

Jadi benda ini berhenti setakat di situ sahaja. Sekalipun terdapat pelbagai cerita yang timbul tentang roh namun tiada penjelasan yang kukuh untuk ditafsir atau dihujahkan.

Apabila tiada hujah yang kukuh mengaitkan ia dengan pengalaman deja vu, perbincangannya menjadi terbatas. Itu kerana deja vu adalah perkara yang ghaib. Maka pengetahuan tentang sesuatu yang ghaib amat terhad. Skop pengetahuan manusia tidak menjangkau mengenainya.

Ia sangat kompleks dan tidak mungkin boleh difaham oleh makhluk yang bernama manusia sebagaimana yang dinisbahkan dalam ayat di atas.

“Kita bimbang jika perbincangannya dilanjutkan boleh membawa kepada pemahaman yang salah. Apatah lagi konsep roh atau perasaan seperti pernah mengalami ini sangat berkait dengan agama Hindu iaitu konsep kelahiran semula,” terangnya. 

Bersambung…