KUALA LUMPUR – Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) membantah isi kandungan buku,Tommy Thomas.

Dalam satu kenyataan persatuan itu menyifatkan kenyataan Tommy dalam buku itu menunjukkan beliau telah salah arah dan salah tanggapan mengenai peranan pegawai undang-undang dan dalam skim perkhidmatan ini.

‘’Tan Sri Tommy Thomas mengelar pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara sebagai peguam kerajaan yang hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan serta menjalankan kerja pentadbiran.

‘’Kenyataan ini adalah bersifat jahat malah menghina pegawai undang-undang secara keseluruhannya, JALSOA amat terkilan dan terjejas dengan kenyataan beliau tersebut,’’ kata kenyataan itu.

Persatuan itu menegaskan, pegawai undang-undang sama ada yang ditempatkan di Jabatan Peguam Negara mahupun di mahkamah sentiasa menjalankan amanah yang dipertanggungjawab kepada mereka menurut peruntukan undang-undang tanpa mengira siapakah Peguam Negara atau kerajaan yang memerintah.

BACA JUGA :Buku Tommy Thomas : Bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara buat laporan polis

‘’Cabaran, dugaan dan tekanan dalam tugas seorang pegawai undang-undang memberi implikasi bukan kepada mana-mana individu dan pelanggan tetapi memberi kesan kepada kepentingan negara dan kepentingan awam dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

‘’Kami tidak bekerja untuk mengejar populariti individu, malah dasar kerahsiaan, integriti dan profesionalisme yang ditegakkan di dalam perkhidmatan awam sentiasa melatari setiap tindakan dan tatakerja pegawai undang-undang,’’ kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan tersebut menegaskan, Tommy tidak wajar mempertikaikan kemampuan, keupayan dan kebolehan pegawai undang-undang di bawah seliaan beliau dalam tempoh yang singkat apatah lagi menyebut dengan jelas nama pegawai undang-undang dalam bukunya dengan cemuhan.

‘’Pegawai undang-undang mempunyai kelayakan dan kelulusan akademik yang setaraf dengan peguam swasta hadir mewakili kerajaan dan berjuang dalam pertikaian pihak-pihak di mahkamah termasuk pertikaian dan rundingan antarabangsa demi kepentingan negara.

‘’Pandangan Tan Sri Tommy Thomas amat tidak bertamadun dan mencerminkan kedangkalan pemikirannya. Apa jua perasaan tidak puas hati beliau semasa berurusan dengan pegawai undang-undang tidak wajar dan tidak patut dicoretkan untuk tatapan umum.

‘’Persepsi tersebut adalah ciptaan Tan Sri Tommy Thomas sendiri atas kegagalannya dalam menerajui Jabatan Peguam Negara serta memahami pentdbiran perkhidmatan awam,’’ kata kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, JALSOA berpendirian Tommy sewajarnya menjaga kehormatan dan nama baik Peguam Negara yang pernah disandang beliau serta institusi perkhidmatan perundangan dalam perkhidmatan awam sebagaiman diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.