KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai kanan undang-undang membuat laporan polis terhadap Tommy Thomas kerana didakwa mencemarkan reputasinya dengan menuduhnya tidak mampu mendakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kesalahan rasuah dalam kes SRC International.

Portal Free Malaysia Today (FMT) melaporkan, Mohamad Hanafiah Zakaria, yang bersara sebagai pegawai penyelidik kanan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) pada Ogos, menggesa polis menyiasat bekas peguam negara itu atas kesalahan memfitnah.

Dalam laporan dibuat di balai polis Cyberjaya malam tadi, Hanafiah berkata, polis harus menyiasat Tommy bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan reputasi pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC) lain dan imej badan itu.

Beliau membuat laporan itu selepas Thomas merujuk kepadanya dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness”, yang dilancarkan pada Isnin.

Hanafiah berkata, beliau berada dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan selama 33 tahun, memegang banyak jawatan dan mengendalikan kes kepentingan awam sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Tuduhan Tommy yang saya tidak mampu mendakwa dalam kes berprofil tinggi seperti SRC bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya,” katanya dalam laporan itu.

BACA JUGA:Tommy Thomas cipta watak khayalan dalam bukunya – Peguam

Pada mulanya, Hanafiah mengetuai pasukan pendakwaan ketika Najib didakwa melakukan rasuah berkaitan dana SRC, tetapi Tommy kemudian melantik peguam kanan Sulaiman Abdullah dan V Sithambaram.

Pada Julai 2019, Hanafiah dipindahkan ke ILKAP di Bangi dan kekal di sana sehingga persaraannya.

Hanafiah dilantik sebagai Peguam Cara Agung III berikutan penstrukturan semula Jabatan Peguam Negara pada 2018 selepas Thomas dilantik sebagai Peguam Negara pada Jun tahun itu.

BACA JUGA :Fitnah, Najib tuntut Tommy Thomas mohon maaf, ganti rugi RM10 juta

Semalam, Najib mengeluarkan notis tuntutan kepada Tommy kerana dituduh memfitnahnya dalam buku itu, berkaitan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata, kliennya menuntut permohonan maaf dan wang pampasan RM10 juta daripada Thomas.

Notis itu juga menuntut supaya kenyataan dalam buku Thomas ditarik balik secara terbuka dengan segera dan tanpa ragu, serta jaminan untuk tidak mengulangi tuduhan dan komen tersebut.

Najib memberi Thomas hingga Jumaat untuk membalas, sekiranya gagal, beliau akan memulakan prosiding undang-undang awal minggu depan.