KUALA LUMPUR – Pelakon veteran, Fauziah Nawi bersedia berjumpa pemimpin negara, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri bagi memohon kebenaran agar penggiat seni dapat menjalani penggambaran.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Fauziah menerusi status yang dimuat naik di Facebook harini bertujuan untuk membela nasib semua anak seni.
“Saya tidak kisah kalau Tuanku, Perdana Menteri atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) nak jumpa. Saya akan datang dan tidak takut pun. Ini bukan untuk saya seorang, tapi untuk semua penggiat seni.
“Orang macam kami, ada kerja, ada gaji. Tidak ada kerja, tak ada gaji. Patik ampun kalau salah penggunaan bahasa. Tidak ada siapa suruh tulis.
“Itu saja boleh buat. Mana tahu ada yang nampak hantaran itu dan sampaikan pada Tuanku atau PM (Perdana Menteri). Saya difahamkan sudah ramai kongsikan hantaran itu dan ‘tag’ Tuanku dan PM. Apa saya tulis bukan nak marah, tapi memberitahu keadaan sebenar anak seni yang mana kehidupan perlu diteruskan,” katanya.
Katanya lagi, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada 13 Januari lalu, semua drama dan telefilem membabitkan dirinya ditangguh.
Menurut Fauziah, dia turut tertanya-tanya mengapa masih tidak dibenarkan menjalankan penggambaran termasuk aktiviti seni lain sedangkan semua mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan tiada kluster dari penggambaran.
“Mereka yang mempunyai simpanan pun akan habis juga jika perkara ini berterusan. Saya faham sekarang ini semua orang susah. Maah ada yang ‘nazak’ dari segi kewangan.
“Saya bersuara bukan untuk saya seorang. Kalau untuk saya saja, esok lusa tidak ada makanan, saya hubungi sesiapa pun. Insya-Allah mereka boleh bantu.
“Tapi, macam saya masih ada tanggungan, apatah lagi orang lain. Macam saya, semua kerja terpaksa ditangguhkan termasuk projek teater di bawah syarikat saya.
“Nak buat secara dalam talian, bukan mudah. Perkara sebegini kena dibuat secara empat mata. Jadi saya berharap sangat sekarang ini cari penyelesaian apa yang boleh dibuat,” tuturnya.
Sumber: Harian Metro