ANALISIS
Nampaknya menteri-menteri dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak habis-habis membuat keputusan atau tindakan yang boleh mencetuskan kontroversi.
Semalam, dua menteri menjadi sasaran kecaman ahli politik dan netizen.
Pertama Menteri Kesihatan, Datuk Dr.Adham Baba manakala kedua, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Kedua-dua berkaitan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Dr.Adham menjadi sasaran selepas tersebarnya Peraturan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 diterbitkan dalam warta persekutuan. Ia ditandatangani oleh beliau dan berkuat kuasa hari ini.
Perintah itu menyatakan: “Menteri (Adham) mengecualikan menteri kabinet yang kembali dari lawatan rasmi ke luar negeri dari penerapan Seksyen 15 Akta”, merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Dengan arahan itu, menteri yang kembali dari perjalanan rasmi ke luar negeri akan menjalani “pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan hingga diberhentikan tanpa bahaya kepada orang ramai”.
Tindakan itu telah membangkitkan kemarahan ramai pihak malah pakar perubatan juga mempertikaikan tindakan tersebut kerana kata mereka, ‘’ Covid-19 tak kena. menteri atau bukan.’’
Penulis pun tertanya-tanya perkara yang sama, apa istimewanya menteri sehingga mereka diberikan ‘keistimewaan’ tersebut? Betullah kata pakar perubatan, virus Covid-19 ni tak kenal seseorang menteri atau tidak. Oleh itu perintah itu dilihat amat tidak tepat.
Kalau rakyat yang pulang dari luar negara harus kuarantin antara 10 hari hingga 14 hari, kenapa menteri hanya tiga hari? Kenapa pula dalam bab pelaksanaan Perintahan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, ada pula pengecualian macam itu?
Kita berhadapan dengan wabak yang tidak kenal sesiapa. Kalau setakat dua tiga menteri kena kuarantin untuk tempoh 14 hari sekalipun tak kan lumpuh pentadbiran negara. Ramai lagi menteri ada.
Justeru adalah wajar jika Kementerian Kesihatan mengkaji semula pengecualian yang hanya menjadi bahan kecaman orang ramai itu dan menunjukkan seolah-olah antara ‘double standard’ pula antara menteri dan rakyat.
Turut jadi tumpuan ialah bagaimana keadaan rakyat dilarang membuat perhimpunan itu dan ini, malah nak makan besar Tahun Baru Cinapun dihadkan jumlah tiba-tiba Azmin membuat program menziarahi 500 keluarga memerlukan bantuan.
Niat tu baik memandangkan masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru Cina sumbangan itu sudah tentu sikit sebanyak boleh mengurangkan beban mereka, tetapi kenapa perlu buat majlis.
Sebab itulah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan perkara itu.

Kata beliau, kerajaan bertegas mengenai perhimpunan dan SOP penjarakan sosial. Ada menteri dilaporkan bertemu 500 penduduk di Hulu Langat. Pada perkiraan saya 500 orang itu sangat ramai jumlahnya. Saya tahu untuk sampaikan sumbangan. Terima kasih diucapkan.
“Cumanya rakyat kena online, sekolah kena online, bekerja kena online, tetapi sumbangan dana oleh menteri tidak boleh buat online? Selama ini kerajaan melarang aktiviti dalam perhimpunan ramai tetapi menteri boleh?
”Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mahu membantu menyah kuman atau sanitasi di kawasan-kawasan sekolah pun dihalang. Ini yang menjadi persoalan dalam kalangan rakyat. Saya memantau komen di Facebook ramai mengatakan ini ‘double standard’ (dua darjat).’’
Dan jangan lupa pada pertengahan bulan lalu, Pemuda UMNO Putrajaya dikenakan kompaun kerana melanggar SOP PKP ketika menganjurkan program pengedaran ayam beku di Presint 9, Putrajaya.
Soalnya, kenapakah Mohamed Azmin tidak mencontohi cara Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika memberi sumbangan komputer riba kepada penduduk daerah itu.
Beliau tidak mengadakan sebarang majlis, sebaliknya sanggup menunggang motosikal dari ke rumah bagi menyampaikan bantuan berkenaan, inilah yang sepatutnya dilakukan oleh mana-mana ahli politik, bukannya mengadakan majlis yang mampu mengundang kepada penularan Covid-19.
Kalau hujah segala SOP dipatuhi, adakah ia bermaksud pihak lain juga boleh berdemikian dengan alasan yang sama?
Kesimpulannya, penulis berharap para menteri berhati-hatilah dalam tindakan mereka. Rakyat sedang memerhati.

