EMPAT hari lagi, genap setahun pemergian pelakon Ashraf Sinclair yang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 40 tahun.
Isterinya, selebriti popular Indonesia, Bunga Citra Lestari akhirnya berkongsi momen akhir mengenai suaminya sebelum disahkan meninggal dunia.
Dedah Bunga,37, dia sudah dapat merasakan jika suaminya itu sudah ‘pergi’ sewaktu melihat Ashraf terbaring atas katil tidak sedarkan diri.
“Waktu itu sudah pukul 3 pagi tapi masih banyak pekerjaan untuk diselesaikan dan keutamaan ketika itu pada kerja. Ya, itulah penyesalan terbesar saya.
“Teman saya telefon dan saya kata macam Ashraf dah tiada…Noah kata Mummy, jangan cakap begitu. Kita tak tahu jadi kita terus ke hospital,” katanya dalam temubual bersama Daniel Mananta yang dimuat naik dalam saluran Youtube It’s Me BCL sempena siri pelancaran single terbaharunya berjudul Love Story.

Menurut Bunga, tiada setitis air mata pun yang mengalir dipipinya saat doktor memberitahu Ashraf telah meninggal dunia dan tidak dapat diselamatkan.
“Saya pergi ke Noah, saya tidak menangis. Saya kata, ‘Noah, daddy sudah tiada. Saya minta maaf, tiada apa yang boleh kita buat, mereka sudah cuba.
“Noah tanya saya, jadi siapa yang akan teman mummy kalau mummy ada urusan perniagaan kalau daddy sudah tak ada? Itulah perkataan pertama yang dia fikirkan.
“Dia tahu ini pasti akan terjadi tapi mungkin tak menyangka ia berlaku dalam waktu ketika dia masih kecil,” tuturnya.

Sementara itu, pelantun lagu 12 Tahun Terindah ini seakan menyesali terhadap apa yang berlaku dan seandainya dia tahu Ashraf tidak punya banyak waktu, sudah pasti dia tidak akan mensia-siakan masa bersama.
“Saya harap saya punya lebih banyak masa, kalaulah saya tahu. Tapi tiada siapa yang tahu. Kalau saya tahu waktu bersama Ashraf tidak tersisa banyak, saya akan pilih fokus habisan waktu bersama dengannya.
“Bila kehilangan seseorang, semua itu (kerja) sudah tidak ada ertinya lagi,” ungkapnya.
Pada 18 Februari lalu, dunia hiburan tanah air dan Indonesia dikejutkan dengan berita pemergian Ashraf di pusat perubatan Jakarta akibat serangan jantung.
Ashraf meninggalkan isteri serta anak lelaki tunggalnya, Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.
Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

