Cinta lahir dari rahmat Allah!

0
18
cinta dari nama Allah

Cinta lahir dari rahmat Allah. Sememangnya soal cinta sesuatu yang amat abstrak untuk dinukilkan. Lain padang lain belalang, begitulah lain orang,lain pula pandangannya tentang  makna cinta.  Yang pasti, cinta memberikan kehidupan kepada manusia. Tanpa cinta, ibarat jasad tidak bernyawa. Kaku!.

Lantaran itu, cinta adalah sesuatu yang amat ajaib untuk diperkatakan.  Dari mana datangnya cinta?  Persoalan ini dijawab Baginda s.a.w. melalui sabdanya, 

“Allah menjadikan rahmat itu 100 bahagian. Dia menyimpan di sisi-Nya 99 bahagian dan diturunkannya ke bumi ini satu bahagian. Satu bahagian inilah yang diberikan kepada seluruh makhluk (begitu meratanya satu bahagian yang dibahagikan itu diperoleh pula oleh) seekor binatang yang mengangkat kakinya kerana dorongan kasih sayang, khuatir jangan sampai menginjak anaknya.” – HR Muslim. 

Itulah sumber lahirnya sebuah cinta.  Salah satu dari nama-nama Allah yang ditiupkan ke dalam jasad setiap kejadian makhluk di muka bumi ini untuk dipinjamkan seketika.  Ar-Rahman dan ar-Rahim, manifestasi cinta yang terlalu luas fungsinya. 

Cinta sesama makhluk adalah satu bahagian dari rahmat Allah kepada hamba Nya

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Imam Ibn Hazm, yang melihat cinta sebagai pertautan antara bahagian-bahagian jiwa yang berasal dari unsur yang luhur. Lantas walau apa jua karakter seseorang, secubit anugerah cinta, boleh mengubah tingkah laku manusia.   

Perasaan cinta hakikatnya mengalir dalam diri setiap jiwa. Tiupan kalimah nama-nama Allah dalam tubuh manusia dan haiwan itulah menjadikan makhluk di muka bumi ini mengenal erti cinta. Memetik tulisan Mustamir Abdullah dalam buku bertajuk Quranic Super Healing, ketika merungkaikan tentang kasih dan sayang menyatakan, perasan cinta kasih dan sayang seorang ibu yang datang secara semula jadi kepada anaknya berpunca dari kalimah ar-Rahman (penyayang). 

Kata penulis tersebut, kalimah ar-Rahman ini tidak selalu berbentuk sesuatu yang menyenangkan si anak. Kemarahan seorang ibu boleh jadi manifestasi kasih sayang kepada si anak. Memarahi anak dengan mengharapkan anak menjadi insan yang baik.

Namun katanya lagi, seorang ibu tentu ingin mengekspresikan kasih sayangnya dengan sesuatu yang menyenangkan anaknya dengan membelai, memuji, membelikan pakaian dan sebagainya. Dan tindakan itu dinamakan sebagai ar-Rahim.

Jadi rahim adalah manifestasi kasih sayang Allah berupa kebaikan yang menyenangkan. Berbeza dengan ar-Rahman yang bersifat kasih sayang secara umum yang boleh diekspresikan sama ada dengan perkara menyenangkan tetapi ada juga menyakitkan.

Dari Allah ia datang dan kepada-Nya ia kembali

Kerana itu dalam Islam, kalimah Basmallah (bismillah) dibaca sebanyak 17 kali melalui bacaan al-Fatihah dalam solat lima waktu.  Dengan sentiasa menyebut kedua-dua kalimah ini, ujarnya, manusia akan menjadikan Allah sebagai pusat hidup seseorang.  Dengan kata lain, dari mana cinta itu datang maka di situlah ia akan kembali.

Bismillah dibaca 17 kali setiap hari sebagai lafaz cinta kepada Pemilik cinta

Kalimah ar- Rahman dan ar-Rahim atau boleh dikatakan sebagai kalimah cinta dan kasih sayang ini, jika dibaca pada setiap pekerjaan yang hendak dilakukan, maka seseorang akan lebih yakin, tenang, tidak gentar dan berusaha melakukannya dengan cara yang terbaik.  Begitulah istilah cinta manusia kepada Tuhannya yang akan membuahkan hasil yang baik.

Maka perkataan rahman yang membawa maksud kasih sayang Allah tersebar dan melingkupi segalanya. Allah menyayangi hamba-hamba Nya tanpa seorang pun terkecuali bahkan meliputi seluruh dunia dan segala yang wujud.

Manakala bagi perkataan ar-Rahim membawa maksud kemantapan.  Kemantapan dan kekekalan ini hanya  diberikan kepada mereka yang beriman, beramal soleh dan menempatkan dirinya pada jalan rahmat Allah. 

Justeru, kerana cinta itu datangnya daripada Allah, maka batas-batas cinta itu perlu dijaga.  Bercinta dengan Allah, rasul, mahupun manusia biasa, adalah perasaan yang lahir dari anugerah yang Allah berikan. 

“Hakikatnya, cinta Tuhan kepada manusia tiada batasannya. Kasih Allah tidak terbatas, sayang-Nya tidak terbilang.”

Tidak mengenal rupa kulit, bangsa, atau apa keadaan sekalipun, cinta dan sayangnya Tuhan kepada makhluk ciptaannya amat luar biasa.  Ajaibnya cinta dari Tuhan, boleh menghapuskan sebanyak mana dosa-dosa yang dilakukan oleh hamba-hamba Nya sesuai dengan kalimah Ar-Rahman dan ar-Rahim, asalkan ada sekelumit rasa cinta yang diperakui sebelum berakhirnya nafas terakhir.

Kerana itu Allah berfirman salam surah Ibrahim: 34,

Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada apa sahaja yang kamu hajati. Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan bilangannya.” Wallahu a’lam.

_____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram