Riak tergolong syirik kecil

Dari Penulis

Jika ingin bersedekah mahupun melakukan amal kebajikan, jangan sesekali ada perasaan ingin menunjuk-nunjuk atau riak. Nanti sia-sia amalan kita.

Malah hari ini, ramai pula yang berbuat amal kebajikan semata-mata untuk mendapatkan tanda suka dan menaikkan rating atau jumlah tontonan di media sosial. Tujuan mereka membuat kebaikan tersebut bukanlah dengan sikap yang ikhlas melainkan untuk menjana pendapatan. Semakin ramai yang menonton semakin banyak pendapatan yang diperoleh.

Namun sayangnya apabila diingatkan tentang sikap tersebut, ada pula yang menjawab, “Amalan diterima atau tidak, itu semua urusan Allah S.W.T. Apa yang penting, orang nampak dan tahu dia sudah berbuat amal.”

Seandainya itulah alasan yang diberikan, sedar atau tidak, mereka sebenarnya sudah tergolong dalam kategori riak iaitu beramal kerana manusia semata-mata, dan bukannya kerana Allah S.W.T.

Jangan ada riak walau sekecil kuman pun saat berbuat amal kebajikan, jika tidak amal perbuatannya hanya sia-sia.

Ada manusia yang diselubungi perasaan beramal kerana Allah, tetapi pada masa sama ada sedikit perasaan riak apabila ingin dilihat atau mengharap pujian orang lain. Malah sifat riak ini antara perangai manusia yang sukar dikesan melalui pancaindera yang zahir melainkan mudah dikesan dengan pancaindera dalaman iaitu hati. Ia seakan seekor semut hitam yang sedang merangkak di kegelapan malam.

Ketahuilah, sikap riak adalah diharamkan dan pelakunya sangat dibenci Allah S.W.T. Dalam al-Quran surah al-Maun ayat 4-6, Allah S.W.T. telah mencela hamba-Nya supaya tidak melakukan ibadah dengan tujuan untuk berbangga.

“Maka celakalah bagi orang-orang yang solat. (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).”

Walaupun begitu, kita tidak digalakkan menuduh dan memandang buruk kepada orang lain dengan sesuka hati menghukum bahawa ia riak. Sebaliknya ingatkan diri sendiri supaya jangan sesekali bersikap riak dalam sebarang perkara terutamanya melibatkan hal-hal agama dan amal ibadat.

Dalam sebuah hadis, Baginda s.a.w. mengingatkan para sahabat balasan bagi orang riak adalah termasuklah di dalam melakukan dosa syirik, sabdanya,

“Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah syirik kecil. Para sahabat bertanya, “Apakah syirik kecil itu wahai Rasulullah?” Nabi menjawab, “Itulah riak, Allah S.W.T. akan berfirman pada hari kiamat kelak, pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu).” – HR Ahmad

riak adalah sifat yang tercela

Sifat riak ini juga akan menjerumuskan seseorang itu ke satu lembah di neraka jahannam nanti sebagaimana Baginda s.a.w. pernah berpesan,

“Berlindunglah kamu kepada Allah dari Jubb al-Hazni (sikap ingin mendapat pujian).” Ada sahabat bertanya, “Apa itu Jubb al-Hazni?” Baginda menjawab,

“Itu merupakan sebuah lembah di neraka jahanam yang disediakan kepada pembaca al-Quran yang bersikap riak.”

Betulkan niat

Segala amalan yang dilakukan termasuk solat, membaca al-Quran, berzakat, menolong orang susah dan belajar perlu diniatkan ikhlas semata-mata kerana Allah. Jauh sekali dengan niat untuk bermegah-megah.

Seorang sahabat pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, dengan apa kita boleh selamat dari penyakit riak ini?” Baginda menjawab,

Iaitu jika seseorang hamba melakukan perbuatan ketaatan dan diniatkan hanya kerana Allah S.W.T. bukan mengharapkan pujian dari sesama manusia.”

Manakala dalam pesan yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Bahawa sesungguhnya setiap sesuatu perbuatan itu mestilah dengan niat dan tiap-tiap sesuatu perbuatan itu dinilai mengikut apa yang diniatkan.”

Sekiranya niat bercampur dengan perasaan riak, mahu dipuji, kerana pangkat dan mengharapkan habuan tertentu, amalan tersebut jauh tersasar apatah lagi untuk mendapat reda  Allah. Sekali gus menjadikannya sia-sia.

Awas, jangan sesekali merasa riak kerana ia boleh menjerumuskan seseorang untuk melakukan syirik dan dicampakkan ke dalam neraka Jahanam.

_________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fahami perbezaan hadis daif, palsu dalam beramal di era digital

Oleh Mohd Shahrizal Faizal Mahasiswa Tahun 3 di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. PERKEMBANGAN media sosial pada...

More Articles Like This