NEW YORK – Seorang lelaki yang bakal menimang cahaya mata pertamanya maut selepas peranti yang dibangunkannya untuk parti ‘gender reveal’ meletup, Ahad lalu.
BBC melaporkan, kejadian itu turut mencederakan adiknya.
Ketika kejadian, Christopher Pekny, 28, sedang memasang peranti yang dikumpul di garaj rumahnya di pekan Liberty, utara New York, bersama adiknya apabila ia tiba-tiba meletup sebelum waktu tengah hari.
Adiknya, Michael Pekny, 27, bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan kemudiannya dikejarkan ke hospital.
Polis yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.55 pagi Ahad mengesahkan Christopher maut di tempat kejadian.
Parti ‘gender reveal’ menjadi kebiasaan sejak kebelakangan ini, di mana ia menjadi tempat untuk ibu bapa mendedahkan jantina bayi mereka kepada rakan dan keluarga.
Jurucakap polis New York berkata, punca peranti itu meletup masih dalam siasatan.
Katanya, peranti itu merupakan sejenis paip tetapi sifat bahan peledaknya belum diketahui.
“Unit pemusnah bom sedang melakukan siasatan lanjut,” katanya.
Michael ketika ditemui menyifatkan kejadian itu sebagai kemalangan paling menakutkan pernah dialaminya.
Tambahnya, dia tidak mengetahui punca yang mengakibatkan peranti itu meledak dan membunuh abangnya.
Parti ‘gender reveal’ semakin kerap diadakan ibu bapa namun ada di antaranya mengundang maut dan kerugian besar.
Seorang lelaki dari Michigan maut awal bulan ini selepas terkena benda tajam dari peranti berupa meriam kecil semasa satu majlis memandikan bayi.
Dua lagi parti ‘gender reveal’ dikaitkan dengan kebakaran hutan besar di California pada September 2020 dan Arizona pada April 2017.

