Vaksinasi bersejarah bermula, Muhyiddin selesai disuntik dos pertama

0
233

Selepas penghantaran pertama vaksin Pfizer BioNTech diterima Ahad lalu, maka hari ini bermulalah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu pertama disuntik dos berkenaan.

Pada majlis yang berlangsung di Klinik Kesihatan Presint 11 Putrajaya hari ini, Perdana Menteri menerima suntikan berkenaan tepat jam 2.42 petang daripada Ketua Jururawat Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya, Lina Ibrahim.

Turut menerima suntikan dos pertama vaksin tersebut hari ini bersama Muhyiddin adalah lima petugas barisan hadapan kesihatan diketuai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham yang menjadi antara watak penting dalam berperang dengan virus tersebut disuntik oleh Jururawat Klinik Kesihatan Putrajaya Precint 9, Mazirah Mokhtar.

Ditanya pemberita pengalaman menjadi individu pertama di Malaysia menerima suntikan tersebut, Perdana Menteri berkata: “Tak rasa sakit apa pun. Macam suntikan biasa.”

Malaysia menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 keluaran Pfizer BioNTech Ahad lalu sebanyak lebih 300,000 dos yang merupakan sebahagian daripada 12 juta dos yang diperoleh daripada syarikat terkemuka itu.

Vaksin berkenaan amat dinanti-nantikan kerana ia merupakan sinar harapan baharu dalam memerangi COVID-19 yang mengubah kehidupan umat manusia di seluruh dunia sejak lebih setahun lalu.

Baca artikel berkaitan:Program Imuninasi COVID-19 dipercepatkan Rabu ini, Muhyiddin penerima pertama

Walaupun bukan bermakna boleh kembali menjalani norma lama sepenuhnya, namun vaksin berkenaan diakui berkesan dan selamat dalam membendung penularan virus tersebut yang setakat ini meragut lebih 1,000 nyawa di Malaysia.

Di United Kingdom (UK) misalnya menunjukkan penurunan penularan sebanyak 70 peratus dalam kalangan petugas kesihatan yang telah disuntik dos pertama vaksin tersebut.

UK menjadi negara pertama di dunia menggunakan vaksin Pfizer BioNTech dengan Perdana Menterinya, Boris Johnso menerima suntikan pertama hujung tahun lalu.

Di peringkat rantau ini, hanya Singapura yang telah memulakan suntikan vaksin Pfizer BioNTech bermula akhir tahun lalu manakala di Indonesia, republik itu menggunakan vaksin keluaran Sinovac.

Baca artikel berkaitan: COVID-19: PM Singapura sudah, hari ini Jokowi pula disuntik vaksin

Selain memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditepakan termasuk taklimat dan proses persetujuan, majlis hari ini turut dimulakan dengan majlis bacaan doa sebaik ketibaan Muhyiddin di klinik tersebut jam 2.30 petang.

Vaksin keluaran Pfizer yang disuntik kepada Perdana Menteri, Ketua Pengarah Kesihatan dan empat petugas kesihatan. Gambar FB KKM

Kira-kira selang 15 minit kemudian, Muhyiddin selesai disuntik sekali gus menandakan bermulanya Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang merupakan program bersejarah dalam memerangi COVID-19.

Hadir sama Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin yang merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19.

Sementara itu, pada sidang akhbar kemudian, Khairy berkata, Perdana Menteri akan menerima suntikan dos kedua dalam tempoh 21 hari lagi.

Katanya, ini bagi melengkapkan dos vaksin COVID-19 seperti ditetapkan pengeluar iaitu Pfizer BioNTech.

“Penerima hari ini berdasarkan skop kerja petugas kesihatan iaitu ada doktor, ada jururawat termasuklah seorang pemandu ambulans,” katanya.

Empat petugas kesihatan berkenaan ialah Clement A/L Marai Francis, seorang pemandu di Pejabat kesihatan Putrajaya2, Khairul Asraf Mohd Yasin, Penolong Pegawai Perubatan di PKD Putrajaya3. Dr Tan Yee Ling, Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9 dan keempat, Sheilla Mellisa Sikin, Jururawat di Klinik Kesihatan Presint 9.

Empat petugas barisan hadapan kesihatan yang menerima suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Putrajaya hari ini. Gambar FB KKM

Selesai menerima suntikan, Perdana Menteri, Dr Noor Hisham dan empat petugas kesihatan dibawa ke Bilik Pemantauan untuk pemerhatian kesan sampingan, jika ada.

Mereka kemudian dibawa ke Stesen kad Vaksin untuk membuat temujanji bagi menerima dos kedua.

Kerajaan menyasarkan untuk menyuntik lebih 25 juta penduduk Malaysia termasuk pekerja asing dalam pelan imunisasi COVID-19 yang merupakan eksesais terbesar pernah dilakukan dalam sejarah negara.


Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.