Singkap perjalanan hidup Rief Daniel dalam Aku Solo

0
570
rief daniel

MESKIPUN dua lagunya sebelum ini kurang mendapat sambutan, namun penyanyi yang mahu dikenali sebagai Rief Daniel ini tidak patah semangat dan kini bangkit dengan single ketiga berjudul Aku Solo.

Menurut Rief atau nama sebenarnya Arief Daniel Zayadi,24, Aku Solo merupakan percubaanya untuk menempatkan diri dalam bidang seni agar lebih dikenali.

“Saya akan terus berusaha demi mencapai impian untuk menjadi artis yang berjaya. Insya-Allah, syarikat pengurusan Plan E Solutions telah melamar saya untuk bernaung dibawah mereka pengurusan mereka dan dengan pengalaman yang ada mungkin nasib saya akan berubah kali ini.

“Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang tidak mempunyai teman disampingnya dan berasa sunyi kerana tiada sokongan daripada seorang yang bergelar kekasih. Walaupun begitu, dia masih tersenyum bagi menyimpan isi hati yang terpendam,” katanya.

Dedah Rief, idea untuk menghasilkan single ini apabila dia berkongsi hal peribadinya bersama penyanyi rap Yonnyboii (Nuriman) selaku penggubah lagu ini.

“Ada satu hari tu, saya pergi ke rumah Yonnyboii untuk menghasilkan sebuah lagu. Dia bertanya tentang hal peribadi saya dan saya menceritakan semuanya.

“Dia nampak apa yang saya sedang hadapi, padahal saya sendiri tidak tahu bahawa saya berasa kesunyian kerana tiada pasangan disamping saya. Saya menceritakan semua masalah saya tetapi dia hanya nampak masalah pasangan yang dihadapi oleh saya,” ujarnya.

Rief Daniel
Rief harap Aku Solo diterima baik pendengar

Semasa proses rakaman lagu ini, Rief memberitahu dia perlu mengubah cara nyanyian mengikut rentak lagu kerana sebelum ini dia lebih ke arah balada, namun kerana Yonnyboii merasakan kehadiran Rief memberi impak yang positif dan kegembiraan kepadanya lalu dia menggubah lagu ini kepada genre pop.

“Alhamdulillah, selepas saya dapat rentak nyanyian dan cara saya tersendiri dalam lagu ini, saya dapati bahawa lagu ini memang kena sangat dengan diri saya dan lagu ini juga mempunyai melodi yang sangat unik dan mampu menangkap perhatian pendengar.

“Percayalah, anda akan rasa apa yang saya rasa. Saya juga berharap agar semua pendengar dapat menerima lagu ini dengan baik dan dengan izin Allah, harap-harap lagu ini akan diminati ramai dan boleh memberi impak yang positif dan kuat kepada pendengar. Sama-sama kita menyuarakan apa yang kita rasa,” jelasnya.

Aku Solo kini sudah berada di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer.

Manakala video muziknya pula telah dimuat naik di saluran YouTube Universal Music Malaysia sejak 26 Februari lalu.