KUALA LUMPUR – Penggiat industri seni kreatif tanah air menghargai dan berterima kasih di atas usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melakukan pelbagai langkah bagi membantu mereka yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19.
Dalam kenyataan bersama, beberapa penggiat seni melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kedua-dua pihak tersebut membela nasib mereka.
Penerbit Eksekutif Darkwhite Creative Solution Sdn Bhd, Tengku Sharmizi Tengku Sharil berkata, beberapa langkah segera juga telah dilaksanakan oleh kedua-dua pihak tersebut seperti Dana PELAKSANA, PRISMA dan sebagainya bagi tujuan menyelamat dan membantu industri itu berikutan pandemik tersebut.
‘’Kami sebagai penerbit amat menghargai tindakan dan usaha yang digerakkan oleh Finas dan KKMM dan ia membuktikan keprihatinan pihak tersebut terhadap nasib kami,’’ katanya.
Penerbit Dream At Work Sdn Bhd, Muhammad Razlan Ismail pula berkata, impak daripada pandemik yang melanda amat menguji semua pihak termasuklah penggiat industri kreatif.
Namun, katanya, keprihatinan dan usaha pantas pihak kerajaan khususnya KKMM dan Finas membolehkan mereka berasa lega.
‘’Melalui gabungan tenaga antara Finas dan persatuan, ia dapat membantu beberapa sahabat-sahabat kami melalui sumbangan kilat ketika musibah dan beberapa bantuan lain sekaligus membuatkan kami berasa dihargai.
‘’Pada tahun lepas, inisiatif yang diselaraskan oleh Finas seperti Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) dan beberapa inisiatif lain serta disokong kuat oleh beberapa stesen televisyen tempatan telah membuka gerbang yang terbaik buat penerbit seperti kami,’’ katanya.
Pembantu Pengarah bebas, Najip Rahim pula berkata, apa yang dilakukan oleh FINAS Dan KKMM seolah-olah memberi oksigen kepada penggiat-penggiat seni kreatif yang terjejas akibat pandemiK Covid-19.
‘’Kerjaya dan punca rezeki kami tiba-tiba lenyap. Terima kasih kepada beberapa Persatuan yang membantu dan keprihatinan Finas kerana melalui usaha mereka ia merancakkan kembali industri kreatif,’’ katanya.
Pengurus Produksi bebas, Sheqal Ahmad turut berterima kepada kerajaan khususnya KKMM dan Finas atas segala bantuan dan usaha bagi merancakkan kembali industri kreatif di negara ini.
‘’Usaha ini bukan sahaja telah mengembalikan rezeki kepada saya selaku penggiat industri tetapi juga kepada keluarga,’’ katanya.

