Tragedi Jonestown – Pengikut fahaman komunis yang membunuh diri beramai-ramai dengan meminum racun

Dari Penulis

Pada 18 November 1978, dunia pernah digemparkan dengan satu kejadian bunuh diri secara beramai-ramai. Kisah ini dilaporkan terjadi di sebuah penempatan projek tanaman kerajaan Amerika Syarikat yang berpusat di Jonestown, Republik Guyana.

Ia dianggap satu tragedi  mengejutkan apabila dilaporkan ratusan manusia dijumpai mati selepas dipercayai meminum sejenis jus bercampur dengan racun. Apa sebenarnya yang berlaku?

Mayat bergelimpangan dalam tragedi Jonestown.

Di pusat penempatan ini, majoriti penduduknya ialah warga Amerika Syarikat dan dipimpin oleh seorang ketua bernama Jim Jones. Sebelum Guyana, penempatan seumpama ini pernah bertapak di Indianapolis, Indiana dan Redwood Valey, California.

Jones merupakan seorang yang berfahaman komunis. Baginya, fahaman itu penting supaya semua orang boleh hidup dalam suasana harmoni dan bekerja untuk kebaikan bersama.

Jim Jones, ketua yang berfahaman komunis.

Jones menganggap Guyana ialah lokasi tepat untuk menyalurkan fahaman komunis tanpa sekatan daripada mana-mana pihak termasuklah kerajaan  Amerika Syarikat.

Pada tahun 1973, Jones membuat keputusan untuk menyewa beberapa ekar tanah milik kerajaan Republik Guyana. Tanah tersebut dibersihkan dan dijadikan sebuah ladang untuk kegunaan penduduk Jonestown.

Pada fasa pertama, penempatan khas tersebut dihuni kira-kira 50 orang. Jumlah itu mula meningkat apabila ramai orang awam berhijrah ke lokasi berkenaan. Keputusan itu diambil kerana termakan dengan kata-kata manis  sewaktu mendengar ucapan Jones.

Bak kata pepatah, indah khabar daripada rupa. Sejurus tiba di lokasi tersebut, kumpulan orang awam  berkenaan terkejut selepas melihat keadaan sebenar di penempatan itu. Apa yang mereka harapkan sebelum ini ternyata tidak benar seperti diperkatakan oleh Jones.

Mereka terpaksa berasak-asak dalam beberapa buah kabin bersaiz kecil. Lebih teruk lagi, lelaki dan wanita tidak dibenarkan tinggal bersama. Setiap kabin hanya boleh dihuni oleh satu jantina sahaja. Tidak terkecuali bagi pasangan sudah berkahwin turut diwajibkan mengikut peraturan tersebut.

Selain peraturan pelik itu, penghuni Jonestown terpaksa berhadapan dengan keadaan cuaca ekstrem. Lebih malang, mereka juga dipaksa bekerja lebih masa sewaktu musim panas selama 11 jam setiap hari.

Hanya kenangan. Sebahagian remaja yang pernah menginap di Jonestown

Pada masa yang sama, kumpulan orang awam ini terpaksa membuka telinga mendengar arahan-arahan terbaharu oleh Jones menerusi pembesar suara. Tidak kira siang atau malam, mereka diwajibkan mendengar arahan tersebut dari masa ke semasa. 

Akibat perkara itu, ada sesetengah penghuni mula menunjukkan rasa tidak puas hati. Mereka mula menyuarakan hasrat  untuk keluar dari tempat itu. Namun, tindakan mereka tidak disukai oleh Jones. Bagi lelaki ini, dia tidak mahu sesiapa keluar dari penempatan berkenaan dan jika sesiapa ingkar, dia akan memberi arahan kepada pasukan pengawal bersenjata untuk menembak mereka yang cuba keluar dari situ.

Kisah mengenai kesusahan dialami oleh penghuni di situ mendapat perhatian oleh wakil kerajaan Amerika Syarikat, Leo Ryan. Bagi mengetahui perkara sebenar, beliau memutuskan untuk melawat kawasan penempatan itu. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah penasihatnya, krew filem  dari The National Broadcasting Company (NBC) dan beberapa orang ahli keluarga penghuni Jonestown. 

Ketibaan Ryan di situ pada awalnya disambut baik oleh Jones dan penghuni lain. Namun, keadaan berubah selepas beberapa orang penghuni menulis satu nota tertera beberapa nama menyatakan hasrat  untuk meninggalkan penempatan itu. Nota rahsia itu diserahkan kepada salah seorang krew filem NBC, sebelum diberi kepada Ryan.

Pada 18 November 1978, wakil kerajaan Amerika Syarikat itu membuka satu tawaran kepada penghuni Jonestown yang ingin pulang ke tanah air bersama beliau. Malangnya, tawaran itu tidak mendapat sambutan ramai sebaliknya, hanya beberapa orang sahaja bersetuju menerima tawaran Ryan.

Akibat tawaran itu, tercetus satu provokasi di kalangan penghuni yang terlalu taksub dengan Jones. Mereka telah menyerang Ryan dan ahli-ahli lain sewaktu dalam perjalanan ke landasan kapal terbang.

Berdasarkan siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat, seramai lima orang dilaporkan terbunuh dalam serangan berkenaan termasuklah, Ryan.

Kronologi yang menceritakan tragedi Jonestown.

Serangan tersebut telah menyebabkan Jones bimbang bahawa akan berlaku serangan balas daripada pihak kerajaan Amerika Syarikat. Tidak mahu perkara itu berlaku, beliau mengarahkan kesemua penghuni untuk melakukan ritual bunuh diri. Jika tidak berbuat demikian, mereka diugut untuk tembak oleh pengawal bersenjata.

Jones memberikan alasan bahawa penempatan Jonestown sudah tidak selamat lagi. Sebagai jalan keluar, Jones memaksa kesemua penghuni meminum jus anggur yang diisi dengan racun.

Dalam upacara itu, bayi dan kanak-kanak menjadi kumpulan pertama diberi minum jus beracun. Kemudian, barulah giliran penghuni-penghuni lain  melakukan perkara yang sama.

Mayat bergelimpangan setelah mati akibat meminum jus beracun.

Seperti dijangka, ritual bunuh diri itu berlaku dengan pantas. Tidak sampai 15 minit, kesemua penghuni yang berjumlah 918 orang meninggal dunia selepas meminum jus beracun tersebut.

Manakala Jones turut membunuh diri. Mayatnya ditemui dengan mempunyai satu kesan tembakan pada bahagian kepala.

Sebuah memorial dibina untuk memperingati mangsa tragedi Jonestown.

__________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This