INSPIRASI #2 : “… akhirnya apa yang kita capai dalam hidup ini tidak penting. Yang lebih penting ialah orang yang boleh kita panggil sebagai kawan.”

Dari Penulis

DALAM novel biografi penulis terkenal, Napoleon Hill tercatat satu cerita ringkas mengenai seorang pemuda bernama Marion Michael Morrison. Lahir pada 26 Mei 1907 di Winterset, Iowa, Amerika Syarikat, keluarga Marion berpindah ke Midwest, selatan California ketika usianya enam tahun. Beberapa tahun kemudian, mereka berhijrah lagi, kali ini ke Glandale. Tamat sekolah, anak muda itu banyak menghabiskan masanya bermain bola sepak.

Dia melakukan pelbagai kerja, salah satunya sebagai jurujual barangan keperluan dapur. Pemuda tersebut keluar pada waktu pagi dan berkunjung dari rumah ke rumah untuk mempromosi barang jualannya.

Napoleon Hill

Tetapi hidup bukannya semudah yang diharap. Hasil jualannya hanya sekadar cukup makan, orang ramai tidak gemar dipengaruhi dan ‘diperdayakan’ oleh jurujual sepertinya.

Suatu hari, pemuda tersebut melakukan demonstrasi memasak di hadapan seorang suri rumah. Sambil itu dia mempromosikan barangannya sebagai sangat berkualiti dan harganya sangat berpatutan.

Sedang tekun melakukan demonstrasi, tiba-tiba suami suri rumah tersebut pulang.

“Maaf encik…” kata pemuda itu. Lalu menyambung “saya sedang tunjukkan kepada isteri encik bagaimana menggunakan barang-barang ini.”

“Tak apa, teruskan,” balas suami wanita itu sambil tersenyum.

Dia duduk di kerusi dan memerhatikan pemuda itu dengan penuh minat. Selesai demonstrasi, mereka duduk bersama dan berbual, dari satu topik ke satu topik. Ternyata suami wanita berkenaan seorang yang baik dan berpandangan jauh.

Sebelum pemuda tersebut melangkah keluar, lelaki tadi memanggilnya dan memberikan beberapa tip bagaimana hendak meningkatkan lagi jualannya. Dia menegaskan kepada pemuda tersebut, yang penting adalah sikap.

“Apa impian awak? Kalau sudah tetapkan impian, berikan tumpuan dan berusaha untuk mencapainya. Tidak kira apa yang awak mahu lakukan, sebagai jurujual atau apa saja, yang penting adalah impian. Lakukan bersungguh-sungguh hingga impian itu tercapai,” kata lelaki tersebut.

Pemuda itu mengucapkan terima kasih lalu beredar. Bagaimanapun, kerjayanya tidak menyinar. Dia masih gagal mencapai sasaran jualan yang ditetapkannya.

Kecewa dengan kegagalan itu, pemuda tersebut meletakkan jawatan dan mencuba kerjaya baru berlakon. Ternyata dia mempunyai bakat dalam bidang itu. Buat permulaan, dia diberikan watak-watak tempelan dalam filem-filem kecil.

Namun hari demi hari, namanya kian melonjak. Daripada pelakon pembantu, dia seterusnya diberi kepercayaan memegang watak utama. Hari-hari yang berikutnya menyaksikan pemuda berdiri gah sebaris dengan nama-nama besar dalam bidang perfileman dunia.

Di akhir kerjayanya, dia berlakon lebih 200 buah filem. Marion, pemuda yang pernah menjadi jurujual itu lebih dikenali sebagai John Wayne. Rakan-rakan memanggilnya ‘The Duke.’

Terus berusaha, jangan berhenti daripada mengejar impian hidup kita : John Wayne.
Akhirnya John Wayne mencapai cita-cita beliau meraih anugerah Oscar.

Impian menjadi jutawan telah lama tercapai, tetapi Wayne mempunyai satu lagi impian iaitu dinobatkan sebagai Aktor Terbaik dalam Academy Award. Impian itu akhirnya tercapai jua pada 1969 melalui filem True Grit. Ketika itu Wayne berusia 64 tahun.

Selepas memberikan ucapan ringkas sejurus menerima anugerah Oscar, Wayne ditanya oleh seorang wartawan; “Siapakah orang yang paling banyak memberi dorongan kepada anda?”

Lantas Wayne menceritakan tentang seorang lelaki yang ditemuinya semasa menjadi jurujual 40 tahun lalu. Wartawan itu kemudiannya bertanya, adakah Wayne kenal lelaki yang diceritakannya itu. Jawab Wayne, “Ya… namanya Napoleon Hill, penulis buku Think and Grow Rich.”

Napoleon meninggal dunia pada 8 November 1970. Sebelum pergi, Napoleon memanggil Wayne dan memberitahunya, “Duke, kita berjaya melakukannya, betul tak?”

Jawab Wayne: “Ya, Napoleon. Tapi akhirnya apa yang kita capai dalam hidup ini tidak penting. Yang lebih penting ialah orang yang boleh kita panggil sebagai kawan. Itulah yang lebih berharga. Dan saya berbangga untuk memanggil awak, ‘KAWAN’.” Wayne memeluk Napoleon dengan titisan air mata.

Benarlah… dalam kehidupan kita ini, ada ketikanya wang bukan lagi menjadi matlamat hidup. Wang boleh dicari, tetapi ia tidak akan kekal. Tetapi, kawan yang sebenar-benarnya akan abadi sehingga ke akhir hayat. Ia lebih berharga daripada wang ringgit.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Mahfuz dakwa Onn Hafiz kaitkan istana dengan politik

NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar menegur tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengaitkan...

More Articles Like This