Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu telah mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam pemulihan daripada sakit demam dan keuzuran mengikut kaedah tradisional. 

The Pharmaceutical Society of Great Britain mempunyai simpanan sebuah buku perubatan yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris pada tahun 1886. Buku tersebut berjudul, The Medical Book of Malayan Medicine.

Dalam buku itu, ia menceritakan tentang ilmu perubatan orang Melayu. Malah, salah satu daripada preskripsi yang terdapat dalam buku tersebut (halaman no.99) turut digunakan sebagai ubat untuk melegakan penyakit asma dan bronkitis di Barat sekitar tahun 1915.

Salinan buku The Medical Book of Malayan Medidine.

Apa keistimewaan ilmu perubatan orang Melayu terdahulu sehinggakan menarik perhatian bangsa asing mendalaminya?

Generasi sekarang ramai tidak tahu bahawa pengetahuan dan ilmu mengenai pemulihan dan pengubatan orang Melayu zaman dahulu dikumpulkan dan ditulis dalam sebuah kitab yang lazimnya dirujuk sebagai ‘Kitab Tib’.

Kitab Tib ialah pinjaman daripada bahasa Arab yang bermaksud ubat, tukang ubat dan ilmu perubatan. Ia tidak mempunyai pengarang khusus, dan biasanya disalin serta disebarkan kerana manfaatnya boleh diguna pakai oleh seluruh masyarakat.

Kitab Tib.

Mengikut rekod Perpustakaan Negara Malaysia, terdapat sekitar 40 buah koleksi manuskrip Kitab Tib. Selain itu, turut dianggarkan lebih 80 buah manuskrip lama ini direkodkan di seluruh dunia.

Pada masa kini, Kitab Tib telah diangkat sebagai Seni Warisan Negara di bawah kategori ‘Warisan Bahasa dan Persuratan’ kerana kepentingannya dari sudut warisan tidak ketara.

Hampir kesemua kandungan di dalam Kitab Tib Melayu merujuk kepada perubatan, ilmu tabib serta penerangan mengenai penyakit dan ubat. Namun, dalam kebanyakan naskhah kitab ini, terdapat juga pecahan ilmu-ilmu lain seperti ilmu kesihatan diri, ilmu ramalan, analisis mimpi dan ilmu falak.

Antara kandungan dalam Kitab Tib

Terdapat beberapa masalah atau penyakit yang dihuraikan di dalam Kitab Tib. Antaranya, penyakit biasa seperti demam, batuk dan lelah. Penyakit berjangkit seperti kayap, kudis dan cacar. Pada masa yang sama,ia turut menyentuh penyakit berkaitan rasukan hantu, syaitan dan jin. Selain itu, terdapat juga perkara berhubung masalah tenaga syahwat, ilmu berahi dan pemulihan serta menguatkan tenaga batin.

Isi perbincangan di dalam Kitab Tib adalah himpunan kebijaksanaan dan kearifan orang Melayu terdahulu di dalam ilmu kesihatan diri. Kebiasaannya, ia membincangkan dengan mendalam tentang beberapa perkara seperti punca sakit, teknik-teknik penyembuhan, jenis-jenis penawar dan pantang larang.

Berkaitan punca penyakit pula, biasanya ia terbahagia kepada dua kategori, iaitu penyakit yang datang secara alami atau semula jadi. Sebagai contoh, penyakit yang disebabkan keadaan cuaca sejuk, panas, angin, air dan sebagainya. Ia mungkin boleh terjadi disebabkan faktor lain seperti sihir atau gangguan makhluk bukan manusia iaitu hantu atau jin.

Daripada aspek teknik penyembuhan pula, kitab ini menerangkan dengan terperinci merangkumi beberapa kaedah. Sebagai contoh, proses diagnosis bagi menentukan jenis penyakit melalui kaedah biasa atau pemeriksaan ke atas tanda-tanda fizikal seperti denyutan nadi, kulit, mata, permukaan lidah,perut, telinga, kahak dan sebagainya.

Selain itu, proses diagnosis ini turut menggunakan bantuan kuasa luar biasa atau dalam istilah lain dipanggil sebagai ‘menurun’. Contoh rawatan tradisional yang mempraktikkan elemen ini ialah Main Puteri. Pada masa sama, teknik penyembuhan yang terdapat di dalam kitab ini turut menyentuh kaedah pembedahan dan rawatan fizikal seperti bekam, khatan dan urut.

Kaedah perubatan tradisional Melayu ditulis dalam Kitab Tib. – Gambar Hiasan.

Bagi aspek jenis-jenis penawar pula, medium yang sering digunakan adalah akar-akar kayu, iaitu ubat-ubatan bersumberkan flora dan fauna.

Kebiasaannya, penawar-penawar ini akan diterangkan secara terperinci bagi memastikan pembaca boleh mengenal pasti dan menggunakan ubatan tersebut dengan cara yang betul. Uniknya lagi, dalam kitab ini turut menerangkan tatacara pengendalian penawar untuk mendapatkan hasil yang positif.

Dalam ilmu perubatan Melayu, pantang larang sememangnya tidak dapat dipisahkan. Dalam Kitab Tib turut menyentuh tentang perkara ini. Tidak dinafikan sekiranya pantang larang dilanggar ia boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan.

Apa yang membuatkan Kitab Tib ini istimewa, ia turut menerangkan kaedah perawatan yang boleh mengurangkan kesan akibat perlanggaran pantang tersebut. 

Salah satu Kitab Tib dari Pulau Pinang yang dipamerkan di Muzium Warisan Melayu UPM.

*Foto dan info dari Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM).

__________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.