Oleh OMAR SAID
PADA 31 Oktober setiap tahun, penduduk di kebanyakan negara Barat akan menyambut perayaan Halloween.
Antara tradisi sambutannya melibatkan penggunaan kostum menakutkan, amalan trick-or-treat dan paling popular, mengukir Jack-o’-Lantern.
Jack-o’-Lantern ialah pelita yang biasa dibuat menggunakan labu dengan ukiran wajah menakutkan. Pelita tersebut dipercayai dapat menakutkan hantu-hantu yang berkeliaran, terutamanya hantu Jack Si Kedekut.
Dalam tradisi Ireland, Jack Si Kedekut ialah seorang lelaki tangkai jering yang menipu syaitan kerana tak mahu membayar minuman.
Disebabkan terlalu kedekut, selepas minum bersama syaitan, dia meminta syaitan menjelma menjadi duit untuk digunakan buat membayar minumannya.
Selepas mati, roh Jack tidak diterima masuk ke syurga kerana sifatnya yang kedekut. Di neraka pula dia dilarang masuk kerana syaitan berdendam kepadanya. Akhirnya roh Jack berkeliaran di bumi kerana tidak diterima syurga mahupun neraka.
Itu kepercayaan tahyul orang Ireland. Kita tak perlu percaya, cuma saya teringat kisah Jack Si Kedekut ini apabila melihat gambar stesen Transit Aliran Massa (MRT) yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Ramai yang tidak berpuas hati kerana hasilnya tidak segah disangka. Nampak jelas berlaku pengurangan kualiti akibat penjimatan yang pernah diumumkan kerajaan terdahulu.
Dalam ekonomi, gaya berbelanja sebegini dinamakan sebagai austerity, atau ‘ekonomi ikat perut’. Penjimatan dilakukan dalam banyak hal dengan alasan untuk mengurangkan hutang, atau menipiskan defisit.
Adakah ikat perut ini bagus? Mungkin akan ada yang kata ya, kerana kita sendiri jika bajet tak cukup pada hujung bulan akan berjimat-jimat juga. Namun, kita tak boleh samakan perbelanjaan negara dengan individu. Ia beroperasi dalam sistem yang berbeza.
Buat yang ada pengetahuan dalam bidang ekonomi dan kewangan, anda boleh merujuk kepada teori Falasi Isi Rumah (Household Fallacy) oleh Roger E. A. Farmer dan Pawel Zabczyk. Buat pembaca umum, saya jelaskan secara ringkas.
Negara yang menerbitkan mata wang sendiri tidak mempunyai masalah untuk berhutang dan mempunyai defisit besar, asalkan ia dikawal. Jadi, jika anda tinggal dalam negara yang menerbitkan mata wang sendiri, jangan percaya kepada ahli politik yang mendakwa negara akan bankrap kerana hutang terlalu tinggi. Ia tidak akan berlaku semudah itu.
Malah, dalam beberapa fahaman ekonomi, defisit dalam belanjawan negara ialah wang di tangan rakyat. Itu juga yang dibuktikan Farmer dan Zabczyk tetapi ia lebih rumit kerana melibatkan bon kerajaan dan kadar faedah.
Tidak perlu sampai ke tahap itu. Cuma apa yang ingin saya sampaikan, hutang negara tidak sama dengan hutang individu atau isi rumah dan oleh itu, cara menguruskannya juga berbeza.
Kita pernah disogokkan dengan falasi ini dahulu. Dalam kempen politik, berkali-kali diulang negara mahu bankrap. Selepas parti politik yang menyogokkan falasi itu menjadi kerajaan, mereka perlu meneruskan wayang maka ikat perut pun dijalankan.
Antara yang terkesan ialah projek MRT2. Ini baru kita lihat reka bentuk stesen, sudah tepuk kepala. Kalau dilihat gerabaknya nanti entah anggota tubuh mana pula kita nak tepuk.
Kerajaan memang patut menggalakkan pembinaan jaringan pengangkutan awam yang selesa. Lebih banyak rakyat bergerak menggunakan pengangkutan awam, semakin ia baik untuk negara.
Bank Dunia pernah mengeluarkan laporan pada 2015, bahawa jumlah kerugian akibat kehilangan produktiviti semasa kesesakan jalan raya di Malaysia adalah antara RM10 bilion ke RM20 bilion setahun.
Itu belum dikira kerugian kerana pencemaran alam sekitar akibat kesesakan. Lebih lama kereta tersekat di jalan raya, lebih banyak gas yang mencemar alam sekitar dilepaskan.
Harapan kita untuk melihat negara – sekurang-kurangnya Lembah Kelang – mempunyai sistem pengangkutan awam yang canggih dan berkesan mungkin terpaksa ditangguhkan kerana keputusan ikat perut yang diamalkan kerajaan dahulu.
Ikat perut, atau kata kasarnya kedekut, tidak membawa natijah yang baik kepada kita. Seperti Jack Si Kedekut yang tidak diterima syurga mahupun neraka kerana sifat kedekutnya, begitu jugalah agaknya kita nanti.
Selamanya terperangkap dalam segmen pendapatan pertengahan. Semoga ia tidak terjadi.

