KEPUTUSAN menggunakan tren diesel bagi perkhidmatan Shuttle Selatan dibuat bagi memastikan rakyat Johor dapat menikmati kemudahan pengangkutan awam dengan segera tanpa perlu menunggu sehingga tiga tahun lagi untuk ketibaan tren elektrik baharu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata ramai mempersoalkan penggunaan tren diesel bagi laluan itu, namun keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira keperluan semasa serta ketersediaan aset sedia ada.
Beliau berkata, apabila projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru siap sepenuhnya, perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan mengambil alih laluan berkenaan, sekali gus menyebabkan tren diesel yang sebelum ini digunakan tidak lagi diperlukan di laluan tersebut.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan (MOT) mempunyai dua pilihan ketika itu iaitu sama ada menunggu antara dua hingga tiga tahun bagi 10 set tren elektrik pelbagai unit (EMU) baharu siap dibina atau memanfaatkan tren diesel sedia ada untuk digunakan segera.
“MOT membuat pertimbangan profesional dan memilih untuk menggunakan tren yang tersedia supaya penduduk Johor tidak perlu menunggu lebih lama bagi menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil keputusan itu, penduduk di sepanjang laluan Shuttle Selatan kini mempunyai pilihan pengangkutan alternatif yang menghubungkan Kulai dengan JB Sentral dalam tempoh kira-kira 30 hingga 40 minit.
Loke berkata, satu lagi manfaat penting ialah pembukaan laluan Kempas Baru-Pasir Gudang kepada perkhidmatan penumpang buat pertama kali selepas sekian lama digunakan khusus bagi operasi kargo.
Katanya, kerajaan turut menanggung subsidi bagi memastikan tambang kekal berpatutan dengan peruntukan antara RM11 juta hingga RM15 juta setahun untuk mengendalikan perkhidmatan berkenaan.
Beliau menegaskan tren EMU baharu akan diperoleh mengikut jadual yang dirancang, namun kerajaan berpandangan tiada keperluan untuk menangguhkan manfaat kepada rakyat sedangkan perkhidmatan boleh dilaksanakan menggunakan aset yang sedia ada.
“Selagi rakyat boleh menggunakan perkhidmatan ini sekarang, tidak ada sebab untuk menunggu,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

