KEMATIAN pelajar latihan industri dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana Perdana di Bandar Saujana Perdana, Sungai Buloh pada 16 Jun lalu disahkan akibat lemas.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 11.53 pagi, 16 Jun lalu memaklumkan seorang lelaki Melayu ditemukan lemas di sebuah kolam takungan air dalam kawasan pentadbiran daerah itu.
Menurutnya, susulan laporan diterima, operasi mengeluarkan mangsa dijalankan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Puncak Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah lelaki Melayu berusia 23 tahun.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HASA untuk menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan dan sentiasa berhati-hati.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Fuzi Kamazan di talian 012-3818167.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

