DUA lelaki maut manakala tujuh lagi cedera, termasuk seorang parah, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini, Pekan, petang tadi.
Dalam kejadian yang dilaporkan pada jam 5.57 petang itu, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan pemandu Honda Civic disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata kemalangan itu turut menyebabkan dua penumpang Toyota Alphard berusia 15 dan 35 tahun, termasuk seorang wanita, mengalami kecederaan.
Menurutnya, penumpang hadapan Honda Civic pula cedera parah, manakala tiga lagi penumpang kenderaan itu termasuk seorang warga emas serta kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mengalami kecederaan.
“Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Chini bersama anggota BBP Muadzam Shah dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan bagi menjalankan operasi menyelamat.
Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.
“Mangsa yang cedera diberikan bantuan awal sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
“Dua mangsa yang maut pula diserahkan kepada pihak polis bagi urusan siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

