Masjid Nabawi akan ditutup setengah jam selepas solat tarawih dan akan dibuka semula dua jam sebelum solat Subuh kecuali pada 10 malam terakhir Ramadan, yang mana ia akan dibuka 24 jam.

UMAT Islam di Madinah boleh melakukan solat tarawih sepanjang Ramadan di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan berjaga-jaga Covid-19.

Saudi Gazette melaporkan, perkara itu diumumkan oleh Pentadbir Ehwal Dua Masjid Suci, kelmarin.


 “Solat Tarawih akan dijalankan di Masjid Nabawi semasa bulan Ramadan selain solat lima waktu,” kata Presiden Pejabat Pentadbir Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr. Abdulrahman Al-Sudais,  sambil mengumumkan rancangan pihak pentadbiran bagi bulan Ramadan.

Dr Abdulrahman berkata, rancangan itu termasuk program-program, sasaran, alternatif, kecemasan dan pengurusan krisis sepanjang bulan Syaaban dan Ramadan serta cuti Aidilfitri.

Menurutnya, rancangan itu diatur dengan teliti semasa menimbangkan kesan perintah terkini tentang program dan matlamat serta jumlah jemaah dan pengunjung yang keluar masuk Masjid Nabawi.

“Musim tahun ini agak luar biasa di tengah-tengah pandemik Covid-19, di mana jumlah jemaah di dalam Masjid Nabawi dihadkan kepada jumlah tertentu, seiring dengan langkah-langkah berjaga-jaga yang ditetapkan,” tegas Dr. Abdulrahman.

Sebagai sebahagian daripada rancangan itu, Masjid Nabawi akan ditutup setengah jam selepas solat tarawih dan akan dibuka semula dua jam sebelum solat Subuh kecuali pada 10 malam terakhir Ramadan, yang mana ia akan dibuka 24 jam.

Jumlah keseluruhan jemaah dalam bulan Ramadan adalah 60,000 pada satu-satu masa berdasarkan langkah jarak selamat yang dikuatkuasakan.

Masjid Nabawi mempunyai keupayaan operasi untuk menampung maksimum 45,000 jemaah sementara ruang baru di bahagian barat dapat menampung 15,000 jemaah.

Jemaah dibenarkan bersembahyang di “Kawasan Hassawaat”, kawasan peluasan, bumbung dan ruang yang disediakan, menurut pelan kumpulan berdasarkan jumlah jemaah dan pelaksanaan langkah berjaga-jaga.

Solat di dalam Masjid Nabawi dan Raudah akan terus dihadkan kepada para pekerja dan kakitangan masjid itu serta saudara-mara jenazah dan mereka yang menghadiri upacara pengebumian, sekiranya ada kematian.

Ramadan lalu, pihak berkuasa menggantung solat tarawih di kedua-dua masjid suci, iaitu Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, dalam usahanya membendung penularan Covid-19 di Arab Saudi.