Siri 2: Kisah luar biasa pembesaran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi

Dari Penulis

Usai menyiapkan pembesaran Masjidil Haram, 15 tahun kemudian Raja Fahd meminta sekali lagi Kamal Ismail untuk menguruskan pula penambahbaikan pada Masjid Nabawi dengan pemasangan marmar putih sama seperti di Masjidil Haram.

Kamal Ismail kembali semula ke perusahaan yang sama. Namun pada ketika itu marmar yang dia kehendaki sudah kehabisan stok kerana semuanya sudah habis terjual.

“Ketika Raja Fahd meminta untuk memasang marmar yang sama di Masjid Nabawi, saya menjadi bingung kerana hanya ada satu tempat di bumi ini untuk mendapatkan marmar jenis yang sama iaitu Yunani. Dan saya sudah membelinya separuh pada 15 tahun yang lalu” ujar Kamal Ismail.

Dengan perasaan hampa dan bingung, Kamal Ismail meninggalkan pejabat perusahaan itu tanpa sebarang hasil. Ketika melangkah kaki keluar dari bagunan tersebut, secara tidak sengaja dia terserempak pula dengan setiausaha perusahaan dan terdetik untuk bertanyakan di mana orang yang membeli separuh lagi stok marmar yang tinggal.  

Menurut setiausaha itu, agak sukar untuk mencari data pembeli tersebut kerana sudah 15 tahun berlalu. Namun dia berjanji akan cuba mencarinya. Kamal kemudiannya memberikan alamat dan nombor telefon hotel tempat dia menginap kepada setiausaha tersebut dan berjanji akan mengunjunginya pada keesokan hari.

Sepanjang perjalanan ke hotel, baru Kamal menyedari entah mengapa dia berasa ingin mengetahui siapa pembeli baki marmar putih itu, sedangkan yang dia perlukan hanyalah stok marmar bukannya pembeli.

Berita gembira

Keesokan harinya, beberapa jam sebelum dia berangkat ke lapangan terbang untuk pulang ke Arab Saudi, Kamal mendapat panggilan telefon daripada setiausaha perusahaan. Menurutnya dia berjaya menemukan alamat pembeli marmar yang dicari.

Kamal lalu bergegas ke pejabat perusahaan sambil memikirkan apa yang perlu dia lakukan dengan alamat pembeli tersebut. Setelah diberikan data dan alamat pembeli, Kamal begitu terkejut kerana alamat pembeli adalah sebuah syarikat yang berada di Arab Saudi.

Pada hari yang sama, usai sahaja mendarat di Arab Saudi, Kamal bergegas menuju ke syarikat yang membeli baki marmar tersebut dan bertemu dengan pengarah syarikat. Langsung sahaja selepas memperkenalkan diri, dia bertanyakan di mana marmar yang telah mereka beli pada 15 tahun yang lalu dan digunakan untuk apa.

Pengarah itu pada awalnya mengaku tidak ingat di mana letaknya marmar tersebut. Setelah menghubungi bahagian stok perusahaan, ternyata marmar yang dibeli itu sebenarnya tidak digunakan untuk apa pun. Ia hanya tersimpan rapi di gudang mereka. Dan ajaibnya jumlah yang ada cukup untuk digunakan oleh Kamal bagi kegunaan di Masjid Nabawi.

Mendengar itu, tanpa disedari air mata Kamal mengalir. Inilah kuasa Allah, tiada siapa pun yang lebih mengetahui melainkan Dia yang Esa. Kamal menangis terharu sambil menceritakan tujuannya mencari marmar tersebut kepada pengarah adalah untuk kegunaan Masjid Nabawi.

Setelah itu Kamal kemudian menghulurkan sekeping cek kosong untuk diisi oleh pengarah bagi membeli marmar tersebut. Letaklah berapa pun nilai harganya pasti akan Kamal beli.

Akan tetapi pengarah itu menolak untuk mengisi cek tersebut setelah mengetahui kegunaan marmar adalah untuk Masjid Nabawi tempat suci umat Islam. Dia dengan secara sukarela memberikan semua marmar itu kepada Kamal Ismail. Subhanallah, inilah kisah ajaib pembesaran dua masjid suci umat Islam. Allah sebaik-baik yang Maha Mengetahui.

Biodata Kamal Ismail

Tidak banyak yang diketahui mengenai beliau. Namun mengenali susuk tubuh Kamal Ismail, beliau berasal dari Mesir dan merupakan seorang mualaf. Kamal lahir pada tahun 1908. Sejak dari bangku sekolah lagi dia sudah terkenal sebagai pelajar genius. Ketika di sekolah menengah dia adalah lulusan pertama dan merupakan pelajar termuda yang diterima belajar di Royal School of Engineering di Mesir.

Kemudian dia menyambung pelajarannya ke universiti di Eropah dalam bidang arkitek Islam hingga berjaya memperoleh tiga Phd. Kamal Ismail menikah pada usia 44 tahun namun hayat isterinya tidak lama. Setelah melahirkan seorang putera, isterinya pun meninggal dunia. Kesan daripada itu Ismail memilih untuk mengabdikan dirinya dengan beribadah serta menjauhi daripada lensa media sehingga kematiannya pada usia 100 tahun.

Ketika Raja Fahd dan Perusahaan Bin Laden melantiknya untuk membesarkan kedua-dua masjid suci ini, beliau telah ditawarkan dengan upah yang sangat lumayan. Namun begitu besarnya jiwa Kamal Ismail, beliau menolak tawaran tersebut sekalipun didesak oleh Raja Fahd dan Perusahaan Bin Laden.

“Mengapa saya harus mengambil upah bayaran untuk pekerjaan ini di tempat paling suci di dunia? Bagaimana saya dapat menghadap Allah di Hari Penghakiman nanti?” katanya

Wallahu a’lam

______________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pelan Induk JS-SEZ: Bangkitkan isu bukan untuk mencela atau salahkan mana-mana pihak – Onn Hafiz

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kenyataan beliau berhubung Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bukan...

More Articles Like This