TANZANIA memecahkan tradisi negara itu apabila melantik wanita pertama sebagai Presiden negara Timur Afrika itu, semalam.
Samia Suluhu Hassan, 61, mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Tanzania berikutan kematian mengejut presiden sebelumnya, John Pembe Magufuli.
Samia yang mengenakan tudung merah mengangkat sumpah jawatan tersebut di Dar Es Salam dan disaksikan Ketua Hakim Negara, Ibrahim Jumavowing.
Beliau yang beragama Islam dilihat melafaz sumpah dengan memegang senaskhah al-Quran.
Agensi berita Reuters melaporkan, Samia sebelum ini menyandang jawatan sebagai Naib Presiden sejak 2015 di negara dengan 58 juta penduduk itu.
Semasa menyampaikan ucapan pertamanya setelah dilantik sebagai presiden, beliau meminta semua pihak berhenti mencari kesalahan berhubung kematian Presiden Magufuli.
Samia sebaliknya mengajak rakyat bersatu serta mengatakan bahawa mereka perlu menguburkan perbezaan.
“Ini adalah masanya menguburkan perbezaan di antara kita, dan berdiri bersatu sebagai sebuah negara.
“Ini bukan waktunya untuk saling menuding jari, melainkan untuk bergandingan tangan dan bergerak maju bersama,” katanya di depan para pegawai dan mantan pegawai, termasuk dua mantan presiden.
Dalam ucaptama itu juga, Samia turut mengumumkan hari berkabung di seluruh negara untuk tempoh 21 hari, diikuti cuti umum pada 22 dan 25 Mac.
Tarikh itu adalah berdasarkan majlis pengebumian penyandang presiden negara itu.
Samia mengambil alih jawatan itu dua hari selepas beliau mengumumkan pemergian Magufuli, yang dikatakan disebabkan oleh penyakit jantung.

