SEBANYAK 1,384 kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 335,540 kes dengan jumlah kes aktif 14,454 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sembilan kes import dilaporkan, manakala 1,375 kes lagi membabitkan penularan tempatan.
“Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 625 kes diikuti Johor (161 kes) dan Sarawak (140 kes).

“Sebanyak 37 kes dilaporkan adalah berkaitan kluster di penjara dan depot tahanan imigresen (DTI) membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (29 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (lima kes), Kluster DTI Sepang 2 (satu kes), Kluster Jalan Awang (satu kes) dan Kluster Telok Mas (satu kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat 148 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Sebanyak 1,058 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya ialah 319,842 kes atau 95.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Terdapat enam kes kematian dilaporkan hari ini dengan masing-masing dua kes di Sarawak dan Selangor dan masing-masing satu kes di Kelantan serta Johor berusia antara 56 hingga 85 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.
“Kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,244 kes atau 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.
BERITA BERKAITAN Peningkatan kes positif, MKN laksana PKP di Keningau

Sementara itu, Dr. Noor Hisham juga berkata hanya tiga kluster baharu COVID-19 dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini iaitu di Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, kluster pertama dikenal pasti ialah Kluster Balakong Jaya Dua dilaporkan di Hulu Langat dan Kuala Selangor, Selangor.
Katanya, kluster itu dikesan melalui saringan bersasar terhadap pekerja gudang pasar raya di kawasan Perindustrian Balakong dengan 37 kes dikesan positif.
“Kluster kedua dikenal pasti ialah Kluster Jalan Indah Gemilang Satu di Johor Bahru, Johor, hasil saringan bersasar pekerja kilang di Taman Perindustrian Gemilang membabitkan 78 kes dikesan positif dalam kluster ini.
“Kluster ketiga dikenal pasti ialah Kluster Teknologi Bukit Minyak yang dilaporkan di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Barat Daya, Pulau Pinang, hasil saringan bersasar terhadap pekerja sebuah kilang di Taman Perindustrian Bukit Minyak dengan 98 kes dikesan positif,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,310 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 911 kluster dilaporkan tamat, setakat hari ini.
“Terdapat 15 kluster dilaporkan tamat hari ini termasuk Kluster Jalan Jitu dan Kluster Penjara Kepayan menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 399 kluster.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes, hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Subang Dua (185 kes), Kluster Jalan Indah Gemilang Satu (73 kes) dan Kluster Tanjung Suria (63 kes),” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

