ISU ‘broker’ dalam UMNO terus panas apabila Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan, beliau tahu dan sedar apa yang sedang kelompok itu sedang rancangkan.
Dalam kenyataan melalui Facebook beliau, Ahli Parlimen Bagan Datuk meminta ahli-ahli UMNO, pejuang dan penyokong UMNO sekalian jangan terlalu bimbang.
‘’Muslihat serta tipu daya mereka, segala hipokrasi dan helah dalam pemantauan dan radar. Mereka ini tidak ramai, tetapi apa yang mereka mahu lakukan ke atas UMNO sangat tidak boleh diterima,’’ katanya.
Istilah ‘broker’ itu dipercayai merujuk kelompok pemimpin dalam parti tersebut yang dilihat berusaha mempertahankan kerjasama UMNO dengan Bersatu serta Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini Ahmad Zahid pernah menyindir kelompok berkenaan dengan menganggap mereka ‘broker’ bertaraf jurucakap dan penyatu.
Kenyataan itu menimbulkan persoalan sama ada beliau merujuk kepada bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang dilihat paling lantang mengkritik Ahmad Zahid dan mempersoalkan tindakan UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dalam kenyataan terbarunya Ahmad Zahid turut menegaskan, UMNO tidak boleh digadai dan bukan alat untuk tawar menawar jawatan atau kedudukan sesiapa.
‘’UMNO sama sekali tidak akan melukut di tepi gantang hanya kerana hujah-hujah bermuka dua. UMNO parti milik rakyat dan jutaan ahlinya. Bukan milik mana-mana pihak untuk dijual beli.
‘’InsyaAllah selagi ada keringat dan bakti saya berjanji UMNO tetap dipertahankan. Saya berkata begini kerana saya membaca pandangan dan keluh kesah saudara saudari. Segelintir saudara saudari khuatir saya sebagai Presiden UMNO tidak ‘alert’ rancangan mereka.
‘’Saya ‘alert’. Saya malah ‘alert’ semakin galak persepsi negatif diilustrasikan ke atas saya. Tetapi demi keutuhan parti keramat bangsa dan agama saya mendepani cabaran ini secara berhemah. Keazaman, keyakinan dan jati diri UMNO saudari saudari menjadi azimat penguat semangat,’’ katanya.
UMNO akan mengadakan perhimpunan agungnya pada Sabtu dan Ahad ini ketika parti itu dilihat berhadapan kemelut dalaman berikutan keputusan tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu.

