Kisah tentang kelebihan Bukit Uhud sering disampaikan oleh para mutawif kepada jemaah haji dan umrah dengan sandaran hadis-hadis bertaraf daif. Memang kedengarannya sedap pada telinga tetapi kebenarannya tetap dipersoalkan. Contohnya ada yang mengatakan Uhud sebagai salah satu gunung syurga dan dari taman syurga.
Hadis dari Anas bin Malik, Rasulullah bersabda,
“Sesungguhnya Uhud itu satu bukit yang mencintai kami dan kami mencintanya. Dan, ia terletak di atas satu taman di antara taman-taman syurga.”

Kemudian ada juga yang menyebut tentang Bukit Uhud salah satu dari bukit syurga. Sesungguhnya Rasulullah bersabda ada empat bukit dari bukit syurga dan empat sungai pula dari sungai syurga.
Para sahabat bertanya, “Empat bukit itu apa?” Nabi menjawab, “Uhud. Dia mencinta aku dan aku mencintainya. Thur, Lubnan adapun sungai Nil, Furat, Shaihan dan Jaihan (Sungai Gangga)”
Menurut Dr. Mohd Arif Nazri, Pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunah, Fak. Peng. Islam (UKM), hadis yang mengatakan bukit Uhud terletak di atas salah satu taman di dalam taman syurga adalah daif. Sanadnya lemah kerana ada salah seorang perawinya daif. Ada ulama yang mengatakan ia daif yang melampau.
Namun kebanyakan ulama mengatakannya daif. Begitu juga dengan hadis yang mengatakan Uhud adalah salah satu dari empat bukit dari bukit syurga juga daif. Hadis yang sahih hanyalah hadis yang mengatakan,
“Dia mencintai aku dan aku mencintainya.”
Hanya dua benda saja yang benar-benar dari syurga iaitu Hajarulaswad dan Raudah. Kedua-dua hadis yang menyebut tentangnya memang sahih. Yang lain kebanyakannya daif.
Malangnya, apabila kita pergi haji dan umrah hadis daif inilah yang sering diperdengarkan untuk menarik perhatian. Diulang-ulang hingga jemaah menyangka bahawa hadis itu adalah sahih.

Mungkin kerana para mutawif itu dibayar gaji untuk bercerita siapa yang banyak ceritanya akan menjadi pilihan. Agensi pelancongan lebih suka kalau mutawif mempunyai banyak maklumat dan boleh bercerita untuk menarik minat jemaah.
Dikira ia sebagai satu keistimewaan, namun jika maklumat yang disampaikan itu tidak sah, sebenarnya mereka telah mengkhianati jemaah yang telah teruja dengan cerita bohong.
Baginya, dari menghabiskan masa melawat ke kawasan tersebut, lebih baik tumpukan ibadat di masjid Nabawi yang dijanjikan 1000 pahala bagi setiap solat berbanding di masjid lain. Namun tidak dinafikan, di situ pernah berlaku perang yang penting di dalam sejarah Islam dan di situ juga ada makam para pejuang Islam yang gugur.
Jadilah seperti Uhud
Sebenarnya bukan satu keperluan untuk menziarahi bukit Uhud sewaktu mengerjakan umrah atau haji. Solat sunat di Masjid Nabawi adalah lebih utama dari menziarahi bukit Uhud. Apa yang boleh kita ambil adalah pengajaran bahawa bukit sebesar ini disaksikan oleh Rasulullah yang dia mencintai Nabi dan Nabi mencintainya.
Maka, sudahkah terdetik di dalam hati bahawa kita juga mencintai Nabi? Jika kita tidak termasuk di dalam orang yang mencintai Nabi, tentunya bukit Uhud itu lebih baik daripada kita.

Jadi, apa yang kita lakukan di dalam mencintai Nabi? Sememangnya mencintai Nabi bukanlah sunat tetapi wajib. Malah ia disebut di dalam al-Quran sebanyak 22 tempat. Surah Ali-Imran: 31,
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha mengasihani.”
Tanggungjawab kita kepada Rasulullah adalah mengikutinya. Ikut Rasulullah itu tidak akan sempurna kecuali dua perkara iaitu cinta dan taat. Cinta tanpa taat tidak sah, taat saja dan tidak cinta pun tidak boleh.

Dalil cinta kepada Nabi adalah kisah Abu Talib, cintanya pada Nabi tidak ada tandingannya. Seluruh hidupnya adalah untuk Nabi, sanggup melindunginya hingga akhir hayat. Namun cinta Abu Talib tidak membuahkan hasil kerana tidak taat.
Di mana tempat Abu Talib? Di dalam neraka! Bahkan Nabi mengatakan, “Orang yang paling ringan seksanya di neraka adalah Abu Talib. Diberikan pakaian dan kasut dari api neraka hingga menggelegak otaknya.” Itulah cinta tapi tidak taat pun tidak selamat.
Yang kedua taat tapi tidak cinta pun tidak boleh juga. Salah satu contohnya orang-orang munafik seperti Abdullah bin Ubay, selalu sembahyang saf pertama, menjadi orang kanan dan selalu ikut perang. Tetapi di dalam hatinya tidak ada sedikit pun perasaan cinta kepada Rasulullah.
Di mana tempatnya? Firman Allah,
“Orang-orang munafik itu di dalam kerak terbawah api neraka.”
“Di sinilah dikatakan cinta kepada Nabi itu adalah wajib bukan sunat. Bagaimana bukit Uhud dan tunggul tadi mencintai Nabi, kita harus ambil iktibar. Inilah antara susuk benda yang mencintai Nabi.
Apakah kita tidak ada sedikit pun terbit rasa cinta pada Rasulullah?
Tapi malangnya orang sekarang mencintai Nabi dikaitkan dengan perkakas-perkakas yang pernah digunakan oleh Nabi seperti cap mohor, selipar, jubah dan pedang. Persoalannya, itukah yang diwariskan oleh Rasulullah?
Bukankah Rasulullah telah jelaskan, tekankan dan pesankan, “Aku tinggalkan kepada kamu dua jika kamu berpegang padanya kamu tidak akan sesat iaitu kitab Allah (al-Quran) dan al-Sunah.”
Nabi Wariskan al-Quran dan Sunnah

“Apa yang berlaku pada hari ini, mengalihkan perhatian dari perkara yang penting iaitu al-Quran dan sunah kepada sejarah seperti melihat rumah Nabi, tempat Nabi lahir, pedang dan sebagainya.
Bahkan Nabi mengatakan, “Kami para Nabi tidak mewariskan harta.” Bukankah semua itu harta benda, maka benda itu bukan warisan Nabi. Kalau itu disebut sebagai warisan Nabi apalah sangat, ia amat menyedihkan iaitu benda yang amat sederhana bentuk nilainya.
Kalau dikatakan warisan harta adalah emas bergunung atau istana emas lainlah. Ini adalah benda yang tidak seberapa nilainya, bukankah itu akan menjatuhkan martabat Nabi?
Berbanding al-Quran dan hadis Nabi yang tidak ternilai, gali khazanah ilmu yang Nabi tinggalkan di dalam al-Quran dan hadis. Maka ilmu Nabi itulah warisannya. Wallahu a’lam.
__________________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

