SELEPAS Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mencabar seorang menteri daripada parti itu meletakkan jawatan kerana dianggap ‘menikam UMNO dari belakang’, hari ini pemimpin Bersatu pula membuat gesaan yang sama.

Bagaimanapun gesaan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Redzuan Yusof seperti mana dilaporkan oleh FMT lebih menjurus kepada kritikan ke atas
beberapa rakan sekerjanya daripada UMNO dalam Jemaah Menteri dengan menggambarkan mereka sebagai panglima perang yang “berwajah dua”.

Redzuan yang tidak menamakan siapa yang dimaksudkan menegaskan, ia boleh diketahui jelas melalui ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO semalam.

“Menteri-menteri ini bersikap lain di depan (Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi ketika mereka berada dalam kalangan ahli parti sendiri, mereka bersikap sangat berbeza. Bagi saya, menteri ‘dua wajah’ ini boleh pergi. Sekiranya anda tidak mahu jadi sebahagian daripada kerajaan, jangan jadi,” katanya.

Redzuan berkata mereka yang berada dalam kerajaan mesti tegas dalam pendirian dan pegangan.

“Adakah anda mahukan perpaduan antara ummah supaya negara boleh maju ke depan atau adakah anda mahu meneruskan budaya panglima perang dalam UMNO?” soal beliau.

Beliau “lega” apabila perhimpunan itu dilihat menunjukkan “perangai sebenar” panglima perang UMNO, termasuk yang dalam Jemaah Menteri.

“Budaya panglima perang masih ada. Kita tahu beberapa personaliti dalam UMNO mahu menggunakan parti itu untuk menjaga diri sendiri, untuk melepaskan diri daripada keadilan. Ia mengecewakan ada orang lain mahu jadi sebahagian daripada itu,” katanya.

Mengenai resolusi yang diluluskan UMNO, termasuk menolak kerjasama dengan PPBM pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Redzuan berkata perkembangan itu tidak mengejutkan.

“Kita (PPBM) akan bertemu hari ini atau esok untuk membincangkan pendirian dan respons. Untuk PRU15, Muhyiddin sudah menyatakan dengan jelas kita sedia bersaing dengan UMNO. Walaupun kita mahu semua parti Melayu bekerjasama, kalau UMNO, kita akan sahut,” katanya.