KESELURUHANNYA di negara ini terdapat lebih 240 jabatan dan agensi kerajaan.

Setiap daripada jabatan tersebut sudah tentu memainkan peranan penting dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Apatah lagi bagi sebuah organisasi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mempunyai sejarah panjang dalam memberikan khidmat bakti kepada rakyat dan Malaysia.

Kewujudannya sejak sebelum kemerdekaan negara lagi – sekali gus menunjukkan betapa JPJ adalah antara agensi kerajaan yang membentuk teras penting dalam delivery system biar di era apa sekalipun.

Tahun ini JPJ menyambut ulang tahun ke-75, lebih tepat pada hari ini iaitu tanggal 1 April.

Penubuhannya pada tahun 1946 dengan nama Pejabat Pendaftar dan Pemeriksaan Kereta-kereta Motor (RIMV) bertujuan menyelaras segala aspek berkaitan pengangkutan bagi seluruh negeri.

Sehubungan dengan penubuhan jabatan ini, pelbagai akta berkaitan pengangkutan jalan telah digubal seperti Ordinan Lalulintas Jalan tahun 1958 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Apa pun dekad, dari sebelum merdeka sehingga dunia maya dan kini norma baharu, peranan utama JPJ sudah tentu berkait rapat memastikan keselamatan ekosistem jalan raya selain beberapa fungsi utama lain.

Dalam menjalankan peranannya, JPJ sendiri sebuah organisasi yang dinamik selaras dengan kepesatan kemajuan negara yang menyaksikan sektor pengangkutan jalan raya antara teras penting pembangunan Malaysia.

Untuk itu, JPJ kini berkembang dengan lebih 8,000 kakitangan di pelbagai peringkat manakala pejabat cawangan jabatan itu juga sudah melebihi 160 buah.

Menerusi aspirasi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, JPJ dihasratkan menjadi sebuah jabatan yang berprestasi tinggi dalam menguruskan sektor pengangkutan jalan raya secara mapan dan hijau.

Dr Wee Ka Siong

Justeru tema sambutan ulang tahun JPJ ke-75, Digitalisasi Melestari Integriti sangat tepat.

Bukan sahaja cekap tetapi perlu berprestasi tinggi, JPJ perlu menjadi agensi paling ke hadapan dalam memanfaatkan teknologi digital.

Penyerapan kecanggihan teknologi terutama dari dekad 90-an hingga kini bukan hanya banyak memudahkan urusan rakyat tetapi begitu juga aspek hasil untuk negara dengan lebih RM4.15 bilion berjaya dikutip JPJ tahun lalu.

Masakan tidak, setiap hari lebih 70,000 pelanggan berurusan dengan JPJ di seluruh negara – antara organisasi awam yang paling banyak terlibat dengan orang ramai.

Dan pada masa sama, JPJ dalam berperanan sebagai agensi penguatkuasaan dan mengutip hasil negara, jabatan itu juga tidak terkecuali berdepan ujian integriti sama seperti badan penguat kuasa di seluruh dunia.

Datuk Zailani Hashim dilantik sebagai Ketua Pengarah JPJ bermula 15 Disember tahun lalu.

Biarpun bukan mudah, namun komitmen Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim dalam aspek ini sangat jitu termasuk menjalinkan kerjasama bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkongsian maklumat seperti yang ditunjukkan Zailani dalam pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Februari lalu sememangnya contoh terbaik bagaimana peranan seseorang ketua jabatan dalam meningkatkan integriti penjawat awam.

Malah SPRM secara terbuka menyambut baik dan menghargai komitmen serta iltizam Ketua Pengarah JPJ dalam meningkatkan integriti jabatan berkenaan.

Maka sangat bertepatan tema Digitalisasi Melestari Integeriti – dua aspek penting yang akan terus menjulang JPJ di mata rakyat.

Tahniah JPJ, Selamat Ulang Tahun Ke-75.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram