Gelombang ketidaktentuan: Strategi dasar hadapi kejutan geopolitik global

Dari Penulis

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Naseem Niaz Ahmad
Program Ekonomi
Sekolah Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Putra Malaysia

KONFLIK antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran bukan sekadar episod ketegangan geopolitik, tetapi berkembang menjadi satu kejutan ekonomi global yang kompleks.

Dalam era ekonomi saling berkait, kesan konflik ini tidak lagi terhad kepada kawasan peperangan, sebaliknya merentasi sempadan melalui saluran tenaga, kewangan dan jangkaan pelabur.

Bagi Malaysia, sebagai sebuah ekonomi yang dinamik, kecil dan terbuka, cabaran utama bukan lagi sekadar memahami kesan konflik, tetapi merangka tindak balas dasar yang bersifat strategik dan berlapis.

Secara asasnya, kejutan geopolitik beroperasi melalui tiga saluran utama: harga tenaga, volatiliti pasaran kewangan dan ketidaktentuan jangkaan.

Dalam situasi semasa, ketiga-tiga saluran ini berinteraksi secara serentak. Gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz telah meningkatkan risiko bekalan tenaga global, mendorong kenaikan harga minyak dan seterusnya meningkatkan tekanan inflasi.

Walaupun Malaysia merupakan pengeksport bersih tenaga, manfaat daripada kenaikan harga minyak adalah bersifat relatif dan tidak menyeluruh.

Sebaliknya, peningkatan kos import, tekanan terhadap harga makanan dan logistik, serta kesan limpahan kepada kos sara hidup menunjukkan bahawa impak bersih adalah bercampur.

Lebih membimbangkan, struktur pasaran moden yang dipacu oleh perdagangan algoritma dan aliran maklumat masa nyata telah mempercepat transmisi kejutan.

Lebih membimbangkan, struktur pasaran moden yang dipacu oleh perdagangan algoritma dan aliran maklumat masa nyata telah mempercepat transmisi kejutan.

Pasaran kini bertindak balas bukan sahaja terhadap kejadian sebenar, tetapi juga terhadap jangkaan masa hadapan.

Ini menjadikan ketidaktentuan itu sendiri sebagai faktor ekonomi yang dominan. Dalam konteks Malaysia, keadaan ini meningkatkan kerentanan terhadap aliran keluar modal, turun naik nilai ringgit dan ketidakstabilan pasaran kewangan.

Perlindungan kos sara hidup

Sehubungan itu, cadangan dasar untuk Malaysia perlu bersifat berlapis dan berperingkat iaitu melindungi rakyat dalam jangka pendek, menstabilkan ekonomi dalam jangka sederhana dan mengurangkan kebergantungan strategik jangka panjang.

Setakat hujung Mac hingga awal April ini, Bank Negara Malaysia (BNM) masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi sekitar 4 hingga 5 peratus (%) dan inflasi pada 1.5% hingga 2.5%, dengan kadar dasar semalaman pada 2.75%.

Namun, konflik berpanjangan merupakan risiko menurun yang signifikan, sekali gus menuntut kesiapsiagaan dasar yang lebih tangkas.

Dalam jangka pendek, keutamaan utama ialah perlindungan kos sara hidup secara bersasar.

Subsidi tenaga dan bantuan kewangan perlu difokuskan kepada kumpulan rentan seperti isi rumah berpendapatan rendah, sektor logistik makanan, nelayan dan perusahaan kecil.

Pendekatan ini lebih mampan berbanding subsidi menyeluruh yang berisiko menekan kedudukan fiskal negara.

Pada masa sama, Malaysia perlu memperkukuh keselamatan tenaga sebagai teras dasar strategik.

Konflik ini menunjukkan bahawa tenaga merupakan saluran utama transmisi kejutan global.

Oleh itu, langkah seperti meningkatkan stok penimbal petroleum dan LNG, mempelbagai sumber import serta mempercepat kecekapan tenaga dalam sektor awam dan industri menjadi semakin kritikal.

Persepsi pelabur global

Dari sudut makroekonomi, dasar monetari dan pengurusan pasaran kewangan perlu lebih responsif.

Dalam keadaan inflasi import meningkat dan tekanan terhadap nilai mata wang semakin ketara, pihak berkuasa perlu memastikan kecairan pasaran mencukupi serta menyediakan komunikasi dasar yang jelas bagi mengekalkan keyakinan pelabur.

Dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia, kestabilan kewangan bukan sahaja bergantung kepada faktor domestik, tetapi juga kepada persepsi pelabur global terhadap keupayaan negara mengurus risiko luaran secara berkesan.

Di samping itu pengurusan permintaan tenaga secara sementara juga wajar dipertimbang sekiranya konflik berpanjangan.

Langkah seperti pengurangan penggunaan tenaga dalam sektor awam, galakan kerja fleksibel seperti bekerja dari rumah serta insentif kecekapan tenaga kepada industri berpotensi mengurangkan tekanan terhadap penggunaan tenaga nasional.

Kajian oleh International Energy Agency menunjukkan bahawa bekerja dari rumah satu hari seminggu mampu mengurangkan penggunaan bahan api pengangkutan global sekitar 1 peratus, manakala pelaksanaan yang lebih kerap boleh mengurangkan penggunaan tenaga pengangkutan sehingga antara 30 hingga 80 peratus bergantung kepada corak perjalanan.

Walau bagaimanapun, kesan ini tidak bersifat linear. Peningkatan penggunaan elektrik di peringkat isi rumah, seperti penggunaan pendingin hawa dan peralatan digital, dianggarkan boleh meningkatkan penggunaan elektrik sekitar 6 hingga 12 peratus menurut kajian International Energy Agency.

Dalam sesetengah keadaan, terutamanya bagi pekerja yang tinggal berhampiran tempat kerja atau menggunakan pengangkutan awam, kesan bersih penjimatan tenaga boleh menjadi minimum.

Dalam konteks Malaysia, kesan bekerja dari rumah terhadap penggunaan tenaga nasional dijangka lebih terhad kerana penggunaan bahan api negara banyak didorong oleh sektor logistik dan industri.

Pendekatan ini lebih sesuai sebagai instrumen sokongan jangka pendek dan perlu digabungkan dengan dasar kecekapan tenaga serta pengangkutan awam.

Kejutan bekalan yang ketara

Dari perspektif bekalan global, gangguan di Selat Hormuz memberikan implikasi yang jauh lebih kritikal. Laluan ini mengendalikan kira kira 20 peratus daripada bekalan minyak dunia setiap hari.

Sebarang gangguan akibat konflik atau sekatan boleh mencetuskan kejutan bekalan yang ketara, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak melalui kekurangan fizikal dan peningkatan premium risiko.

Walaupun Malaysia sebagai pengeksport mungkin mendapat manfaat dari segi hasil, kesan bersih tetap bercampur kerana kenaikan harga minyak turut meningkatkan kos domestik melalui saluran pengangkutan, makanan dan input industri.

Gangguan ini juga boleh menjejaskan bekalan gas asli cecair dan produk petroleum, sekali gus memberi kesan kepada sektor industri dan pertumbuhan ekonomi.

Malaysia perlu mengambil pendekatan lebih strategik dalam mengurus risiko bekalan tenaga, termasuk meningkatkan stok penimbal, mempelbagai sumber import dan mempertimbang instrumen lindung nilai harga minyak.

Namun, respons dasar tidak boleh terhenti pada langkah jangka pendek. Konflik ini menegaskan keperluan untuk mempercepat reformasi struktur ekonomi, khususnya dalam sektor tenaga dan rantaian bekalan.

Peralihan kepada tenaga boleh baharu, elektrifikasi pengangkutan awam serta pengurangan intensiti tenaga industri perlu dipercepat.

Ini menekankan kepentingan Malaysia untuk terus mengukuhkan diplomasi ekonomi dan logistik. Dalam dunia yang semakin berpecah akibat ketegangan geopolitik, keupayaan mengekalkan akses kepada laluan perdagangan dan bekalan tenaga bergantung kepada hubungan diplomatik yang aktif dan pragmatik.

Kesimpulannya, konflik Asia Barat ini memperlihat bahawa ketidaktentuan kini menjadi ciri utama ekonomi global.

Malaysia mungkin tidak terlibat secara langsung dalam konflik tersebut, tetapi tidak terkecuali daripada kesannya.

Oleh itu, pendekatan dasar yang berkesan bukan sekadar reaktif, tetapi perlu berasaskan pembinaan daya tahan ekonomi secara menyeluruh.

Dalam dunia yang semakin tidak menentu, keupayaan mengurus risiko dan menyesuaikan diri dengan kejutan luaran akan menjadi penentu utama kestabilan dan daya saing ekonomi negara dalam jangka panjang.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor titik mula transisi kepimpinan lebih muda

GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah pun dipalu mulai Sabtu lalu. Proses penamaan calon diikuti kempen selama dua minggu...

More Articles Like This