
Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM)
HARI raya Aidilfitri bukan sekadar sambutan perayaan yang menandakan berakhirnya bulan Ramadan, tetapi juga sebuah ruang sosial yang kaya dengan makna budaya, emosi dan hubungan kemasyarakatan.
Dalam konteks masyarakat Malaysia yang berteraskan nilai kekeluargaan dan komuniti, Aidilfitri menjadi detik penting yang mempertemukan ahli keluarga dan mengeratkan hubungan silaturahim.
Bagi golongan belia, pengalaman ini mempunyai dimensi yang lebih mendalam kerana ia berkait secara langsung dengan proses pembentukan identiti diri, perkembangan psikologi serta pembinaan hubungan sosial yang lebih luas.
Dari sudut sosiologi, perayaan seperti Aidilfitri berfungsi sebagai mekanisme sosial yang memperkukuh jaringan hubungan dalam keluarga dan komuniti.
Tradisi pulang ke kampung, kunjung-mengunjung serta amalan rumah terbuka bukan sahaja mempertemukan individu daripada pelbagai latar belakang, malah menyuburkan nilai kebersamaan yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat.
Dalam suasana ini, belia tidak sekadar menjadi pemerhati kepada tradisi yang berlangsung, sebaliknya mereka merupakan sebahagian daripada pelaku sosial yang terlibat secara aktif dalam proses yang membentuk nilai, norma dan identiti diri.
Sepanjang tempoh perayaan, generasi muda berpeluang berinteraksi dengan pelbagai lapisan generasi dalam keluarga dan komuniti.
Perbualan bersama ibu bapa, datuk nenek dan saudara-mara membuka ruang kepada perkongsian pengalaman hidup, nasihat serta nilai yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Proses interaksi antara generasi ini memainkan peranan penting dalam membina pemahaman belia terhadap sejarah keluarga, budaya masyarakat serta norma sosial yang menjadi asas kepada pembentukan identiti sosial mereka.
Kesan kesejahteraan emosi
Melalui pengalaman ini, generasi muda bukan sahaja memahami asal usul mereka, malah turut membina rasa kekitaan yang lebih kukuh terhadap keluarga dan masyarakat.
Dari perspektif psikologi belia pula, suasana perayaan memberi kesan yang signifikan terhadap kesejahteraan emosi dan perkembangan personaliti generasi muda.
Interaksi yang positif dengan keluarga dan komuniti membantu membina rasa dihargai, diterima dan disayangi.
Perasaan ini amat penting dalam membentuk kestabilan emosi serta keyakinan diri belia, khususnya dalam fasa perkembangan yang sering melibatkan pencarian makna dan identiti diri.
Apabila belia merasakan dihargai dalam lingkungan sosial yang menyokong, mereka lebih cenderung membina pandangan diri yang positif serta hubungan sosial yang sihat.
Kerangka Pembangunan Belia Positif (PYD) menekankan bahawa belia perlu dilihat sebagai aset kepada masyarakat yang mempunyai potensi besar untuk berkembang apabila diberikan peluang, sokongan dan pengalaman sosial yang membina.
Pembangunan belia sering dikaitkan dengan lima elemen utama yang dikenali sebagai 5C, iaitu kecekapan (competence), keyakinan diri (confidence), hubungan (connection), karakter (character) serta keprihatinan (caring).
Dalam konteks Aidilfitri, elemen hubungan sosial dapat diperkukuh melalui komunikasi yang bermakna antara belia dengan ibu bapa, saudara-mara serta masyarakat sekeliling.
Proses pembelajaran sosial
Komunikasi ini bukan sekadar pertukaran kata-kata, tetapi merupakan proses pembelajaran sosial yang membentuk pemahaman belia terhadap nilai kehidupan seperti hormat-menghormati, tanggungjawab serta kesederhanaan.
Interaksi sebegini secara tidak langsung menyumbang kepada pembinaan karakter, iaitu nilai dan integriti yang menjadi asas kepada pembentukan identiti generasi muda.
Di samping itu, suasana perayaan menyediakan ruang kepada belia untuk mengembangkan kecekapan sosial dan keyakinan diri.
Penglibatan dalam aktiviti seperti menyambut tetamu, membantu ibu bapa menyediakan hidangan atau berinteraksi dengan saudara-mara membantu belia membina kemahiran komunikasi interpersonal yang sangat penting dalam kehidupan sosial.
Pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, malah melatih mereka untuk berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana yang harmoni.
Walau bagaimanapun, realiti kehidupan moden turut membawa cabaran baharu dalam pengalaman sosial belia semasa perayaan.
Penggunaan gajet pintar yang semakin meluas telah mengubah corak komunikasi dalam keluarga dan masyarakat.
Tidak jarang kita menyaksikan situasi di mana ahli keluarga berkumpul dalam satu ruang, namun masing-masing lebih tertumpu kepada skrin telefon bimbit berbanding berinteraksi antara satu sama lain.
Fenomena ini menimbulkan persoalan tentang keseimbangan antara penggunaan teknologi digital dan keperluan untuk membina hubungan sosial yang bermakna.
Perhatian kepada interaksi keluarga
Dalam kerangka PYD, kemampuan untuk mengawal penggunaan teknologi merupakan sebahagian daripada pembangunan karakter, iaitu keupayaan individu untuk membuat pilihan yang bijak dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.
Dalam konteks ini, Aidilfitri boleh menjadi peluang yang sangat sesuai untuk menghidupkan kembali budaya komunikasi bersemuka dalam kalangan keluarga.
Belia boleh memanfaatkan suasana perayaan dengan mengurangkan penggunaan gajet dan memberi lebih perhatian kepada interaksi bersama keluarga.
Perbualan bersama ibu bapa, mendengar kisah pengalaman daripada datuk nenek atau membantu keluarga melayan tetamu merupakan pengalaman sosial yang mempunyai nilai yang sangat besar dalam memperkukuh hubungan kekeluargaan.
Pada masa yang sama, perayaan juga membuka ruang kepada belia untuk memupuk nilai keprihatinan dan empati terhadap orang lain.
Tradisi menziarahi saudara yang uzur, membantu jiran yang memerlukan atau terlibat dalam aktiviti kebajikan komuniti semasa perayaan merupakan antara amalan yang dapat menyuburkan elemen caring dalam kalangan generasi muda.
Apabila hubungan dengan keluarga dan komuniti berkembang dengan baik, belia akhirnya lebih bersedia untuk memainkan peranan sebagai penyumbang kepada masyarakat.
Dalam kerangka PYD, proses ini dikenali sebagai contribution, iaitu kesediaan individu untuk memberi sumbangan kepada kesejahteraan keluarga, komuniti dan masyarakat.
Sumbangan ini mungkin bermula dengan perkara yang sederhana seperti membantu ibu bapa, menghormati orang tua atau melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan komuniti.
Sokong perkembangan belia
Secara keseluruhannya, Aidilfitri bukan sekadar perayaan yang dipenuhi kemeriahan makanan, pakaian baharu dan kunjungan rumah terbuka.
Lebih daripada itu, ia merupakan ruang sosial yang penting dalam proses pembentukan identiti, perkembangan psikologi serta pembinaan nilai kemanusiaan dalam kalangan generasi muda.
Melalui interaksi yang bermakna antara belia, keluarga dan komuniti, Aidilfitri berperanan sebagai medan sosial yang menyokong perkembangan belia secara holistik.
Dalam kerangka pembangunan belia positif, pengalaman sosial seperti ini membantu membentuk generasi muda yang berkeyakinan, berintegriti, berempati serta bersedia menyumbang kepada masyarakat.
Akhirnya, makna sebenar Aidilfitri bukan sekadar terletak pada kemeriahan sambutannya.
Tetapi, pada keupayaannya menyatukan manusia, memperkukuh silaturahim serta membina identiti generasi belia yang kukuh sebagai anggota keluarga, komuniti dan masyarakat.

