Tidak mungkin Muafakat Nasional dapat diselamatkan

0
683

ANALISIS

Tanggal 14 September 2019 adalah tarikh keramat bagi orang Melayu apabila dua parti terbesar mewakili mereka iaitu UMNO dan Pas menandatangani Piagam Muafakat Nasional (MN) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Titisan air mata mengiringi penyatuan ummah itu setelah berpuluh-puluh tahun kedua-dua parti itu berbalah akibat perbezaan fahaman dan merebut kuasa politik. Tetapi hari ini, impian untuk melihat Muafakat Nasional yang beberapa ketika menggerunkan musuh politik mereka bakal terkubur.

Kewujudan Perikatan Nasional (PN) dikatakan menjadi penyebabnya apabila Pas membuat keputusan untuk menjadi anggota rasmi gabungan itu dan terbaru bersetuju memperkukuhkan kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15(PRU-15).

Suasana dalam Dewan Merdeka,Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, pada 14 September 2019.

Pendirian Pas itu sudah memberi isyarat awal bahawa tidak mungkin MN dapat diselamatkan. Persoalannya adakah ia salah Pas? Atau adakah ia salah Bersatu? Memang benar dari satu segi Pas dilihat bermain dalam ‘dua kolam’.

Tetapi ‘kolam’ manapun Pas berada parti itu berusaha menjadi pendamai berikutan perbalahan politik antara UMNO dan Bersatu. Namun usaha itu nampaknya gagal apabila UMNO terlebih dahulu membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

Keadaan itu meletakkan Pas berada dalam keadaan tersepit atau ‘diluah mati emak, ditelan mati bapak’. Pas diberi syarat untuk memilih sama ada mahu bersama PN atau terus berpakat dalam MN.

Pemimpin-pemimpin UMNO dilihat terus memberi tekanan dan melakukan asakan terhadap Pas sehinggalah ia dikatakan sampai ke kemuncaknya pada Perhimpunan Agung UMNO, Ahad lalu.

Reaksi Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada 14 September 2019, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur ketika Himpunan Penyatuan Ummah.

Apa yang berlaku sepanjang perhimpunan itu sedikit sebanyak melukakan hati Pas. Justeru keputusan Pas untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Bersatu melalui PN bukanlah satu kejutan.

Sebaliknya ia sudah dijangka, pendirian Pas itu dianggap ‘tindak balas kecil’ terhadap kegagalan UMNO untuk menjaga hati mereka. Apakah tindak balas besar pula?

Sudah ada cerita-cerita bahawa Pas mungkin akan memilih terus bersama PN dan tidak mustahil akan meninggalkan UMNO sendirian dalam MN. Mungkin Pas akan berusaha untuk mengelak ia berlaku atas dasar mahu menyatukan ummah, tetapi pada pandangan penulis harapan untuk menyelamatkan MN agak tipis.

Sekarang ini pun di beberapa negeri hubungan Pas dengan UMNO tidaklah sebaik mana contohnya di Kelantan, Terengganu dan Johor. Lagi pula dengan tindakan Pas untuk bersama PN pastinya menimbulkan perasaan tidak pusat kepada UMNO, kalaupun mahu berbaik semula, perasaan curiga mencurigai pasti wujud.

Penulis tidak menafikan bahawa di peringkat akar umbi memang mengharapkan MN akan dapat diselamatkan tetapi malangnya di peringkat pemimpin ada gerakan politik berbeza dalam ketiga-tiga parti. 

Tindak tanduk politik yang lebih meletakkan kepentingan kekuasaan dan berebut kerusi dalam pilihan raya menyebabkan MN kini menanti masa untuk ‘dikafankan’.Tambahan pula dari segi taktikalnya agak sukar untuk Pas berada di dalam ‘dua kolam’ tidak kira atas alasan apapun.

Pas tidak boleh berada dalam MN tetapi pada masa bergabung dalam PN. Kalau itu dilakukan ia akan menyebabkan kekalutan. Ia memandangkan kalaupun Pas bersetuju dari segi pembahagian kerusi dengan UMNO, tetapi UMNO tetap akan bertembung dengan Bersatu sekutu Pas.

Jadi apa yang Pas hendak buat ketika itu? Adakah Pas akan menyerang UMNO bagi memastikan kemenangan Bersatu? Dan bagaimana pula kalau calon Pas dan UMNO bertembung di kawasan yang sama? Mungkin kita merasakan ia tidak mungkin berlaku kerana ada kesepakatan.

Tetapi fikirkan adakah kepemimpinan UMNO berupaya untuk menghalang perkara itu daripada berlaku di negeri-negeri tertentu?

Tidak payahlah mana-mana pemimpin UMNO mahu memberi amaran kepada Pas supaya jangan serang UMNO dalam pilihan raya walapun Pas berkawan dengan Bersatu sedangkan ketika tengah masih berkawanpun ada pemimpin UMNO sudah serang Pas, apatah lagi kalau sudah tidak sehaluan dalam pilihan raya.

Justeru itulah, penulis tidak nampak bagaimana MN boleh diselamatkan kecuali ketiga-tiga parti Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu kembali duduk semeja atas nama penyatuan ummah.Kalau setakat mahu bermimpi, boleh sahaja, realitinya apa yang berlaku di PWTC pada 14 September 2019 akan menjadi sekadar salah satu babak dalam pentas arena politik negara. 

Kesudahannya parti-parti Melayu akan bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya, siapa yang akan untung dan siapa akan rugi, kita tidak tahu…yang pasti senario ‘menang jadi arang kalah jadi abu’ sedang menanti.