Dapat semula lesen memandu, Ka Siong ceriakan hidup Arumugam

Dari Penulis

KISAH pemandu lori, S Arumugam yang berkongsi keluhannya di media sosial minggu ini apabila lesen memandunya disenaraihitam oleh JPJ kerana kerap disaman membawa lebih muatan mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Berkongsikan pertemuannya dengan duda anak empat itu, Ka Siong berkata, perjumpaan itu berlangsung di pejabatnya, semalam.

KA SIONG melihat butiran pada sehelai kertas dipercayai saman dilakukan Arumugam. Foto Facebook WEE KA SIONG

Katanya, walaupun Arumugam datang ke pejabatnya menceritakan kisahnya dengan linangan air mata, namun pemandu lori itu pulang dengan senyuman lebar.

“Ini kerana saya menyerahkan lesen memandunya yang telah diperbaharui untuk tempoh 5 tahun,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Demi mencari sesuap nasi menyara empat anaknya berusia antara 9-18 tahun yang masih bersekolah, Arumugam yang telah kehilangan isteri kerana meninggal dunia akibat daripada penyakit kanser pada tahun 2016 ini terpaksa melanggar peraturan JPJ apabila memandu tidak memiliki lesen sah dan membawa lori lebih muatan.

Ini membuatkan Arumugam tiada pilihan untuk membawa lori yang mengangkut muatan mengikut peraturan sebagaimana ditetapkan. Jika enggan membawa lori tersebut, majikannya akan menggunakan khidmat pemandu lain. 

KA SIONG (kanan) mendengar keluhan Arumugam semasa satu pertemuan di pejabatnya semalam. Foto Facebook WEE KA SIONG

Mengulas lanjut, Ka Siong menggesa agar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengkaji semula tindakan saman terhadap pemandu lori yang membawa lebih muatan.

Ini selepas pendedahan Arumugam di media sosial apabila disenaraihitam oleh JPJ kerana kerap menerima saman akibat membawa lebih muatan.

Sedangkan menurut Arumugam, kesalahan tersebut perlu dipertangungjawabkan kepada majikan dan bukannya pemandu lori.

“Dalam pertemuan semalam, Arumugam yang berasal dari Ipoh ini menyatakan beliau memiliki banyak saman kerana membawa lori lebih muatan yang bukan atas kehendaknya tetapi atas permintaan majikan atau syarikat pengangkutan.

“Sebagai pemandu lori, semua saman berkaitan lebih muatan terpaksa ditanggung sendiri oleh Arumugam, bukannya syarikat tempat beliau bekerja. 

“Oleh kerana terlalu kerap menerima saman berkaitan membawa lebih muatan, Arumugam telah disenarai hitam oleh JPJ daripada memperbaharui lesennya,” katanya.

Ka Siong memberitahu, akibat disenaraihitam, banyak saman dikeluarkan oleh JPJ dan polis kepada Arumugam kerana tidak mempunyai lesen memandu kompeten (CDL), lesen memandu kenderaan barangan (GDL) dan lesen vokasional.

“Untuk langkah ke hadapan, saya terus minta JPJ dan APAD mengkaji semula tindakan saman terhadap pemandu yang membawa lebih muatan dan bukannya majikan yang dipersalahkan.

“Tindakan seumpama ini membawa kesan buruk kepada pemandu lori apabila saman tidak dapat dijelaskan oleh pemandu (bukan majikannya) dan disenarai hitamkan oleh JPJ,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong meminta Bahagian Penguatkuasa JPJ untuk menyiasat dakwaan Arumugam mengenai pemandu rakyat asing dari Pakistan dan Bangladesh yang beroperasi di sebuah depoh/pusat pengagihan barangan di Sepang. 

Untuk rekod katanya, warganegara asing boleh memiliki lesen memandu tetapi tidak dibenarkan memiliki lesen PSV & GDL, maka mereka ini sudah pasti memandu kenderaan barangan / perkhidmatan awam tanpa lesen GDL/PSV (rujuk kepada jawapan di Dewan Rakyat seperti yang dilampirkan).


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pas tak bantu kempen Bersatu di PRN Johor

PAS yang sebelum ini mengumumkan untuk membatalkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan membantu kempen...

More Articles Like This