SEBANYAK 3.5 juta dos vaksin COVID-19 jenis CanSino dari China akan diterima secara berperingkat, bermula bulan ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perolehan vaksin yang hanya memerlukan dos tunggal itu dibuat dalam dua kategori.
Katanya, pertama ialah produk siap sebanyak 500,000 dos dan selebihnya penghantaran secara pukal untuk diisi dan dibungkuskan oleh syarikat tempatan Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio).
“Melalui perolehan vaksin CanSino yang merupakan dos tunggal, sejumlah 3.5 juta populasi di negara ini akan mendapat manfaat,” katanya kepada media selepas majlis memeterai perjanjian antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan SolBio untuk mengilang vaksin atau secara fill and finish hari ini.
Dr Adham berkata, vaksin CanSino akan digunakan terutamanya di kawasan pedalaman dan kawasan di mana penerima sukar untuk datang menerima suntikan sebanyak dua kali seperti vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac.
“Vaksin dos tunggal ini juga boleh digunakan bagi tujuan vaksinasi warga asing yang berada di Malaysia,” katanya.
Melalui perjanjian itu, SolBio akan mengendalikan proses pembotolan vaksin sebanyak tiga juta untuk dibekalkan kepada kerajaan.
Baca artikel berkaitan: Vaksin AstraZeneca selamat digunakan, 17 juta telah ambil – KKM
Namun, kata Dr Adham, syarikat tersebut masih perlu mematuhi semua peraturan berkaitan pendaftaran dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh melaksanakan pembekalan vaksin.
“Sekiranya syarikat gagal mendapatkan kelulusan pendaftaran yang diwajibkan, perjanjian tersebut boleh dibatalkan kerana kerajaan menitikberatkan keberkesanan, keselamatan dan kualiti,” jelasnya.
Syarikat tempatan ini akan mendapat faedah pemindahan teknologi pembotolan vaksin The Convidecia, Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector), yang dibangunkan oleh CanSino Biologic Inc. yg berpangkalan di Tianjin, China.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

