PENULARAN baharu COVID-19 hari ini masih kekal empat angka namun turun sedikit kepada 1,178 kes berbanding semalam.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, keseluruhannya sebanyak 346,678 kes COVID-19 sudah dilaporkan di Malaysia.
Katanya, untuk hari ini Sarawak mencatatkan penularan tertinggi dengan 238 kes diikuti Selangor, 237 kes dan Pulau Pinang 190 kes.
Berdasarkan pecahan kes mengikut negeri yang dikongsi beliau, Perlis menadi satu-satunya negeri atau wilayah yang mencatatkan sifar kes.
Negeri-negeri lain melaporkan sekurang-kurangnya kes baharu sebanyak dua angka.
“Hari ini juga menyaksikan sebanyak enam lagi kematian dilaporkan dengan lima daripadanya adalah warganegara.
“Ini menjadikan kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 1,278 kes,” katanya menerusi media sosial beliau hari ini.
Putrajaya pula melaporkan satu kes, Terengganu enam kes, Labuan tujuh kes dan Melaka sembilan kes.

Sementara itu, katanya, sebanyak 1,377 kes sembuh dilaporkan dan ini membolehkan kes aktif turun kepada 14,399 kes.
“Daripada jumlah itu, 163 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 81 memerlukan alat bantuan pernafasan,” jelasnya.
Baca artikel berkaitan: Melonjak balik hari ini hampir cecah 1,500 kes
Akhirnya cecah tiga angka, 941 kes Covid-19 hari ini
Dalam pada itu, KKM juga ingin memaklumkan terdapat enam kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.
Kata Noor Hisham, ia melibatkan lima kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.
Kluster-kluster berkenaan dilaporkan di Selangor (dua), Johor (dua) manakala masing-masing satu di Pahang dan Pulau Pinang.
Sementara itu, katanya, kewujudan varian South African B.1.351 di Malaysia telah mula dikenal pasti dalam kalangan empat kes tempatan pada bulan Mac 2021.
Menurut Noor Hisham, hasil siasatan awal mendapati, keempat-empat kes tersebut mempunyai kaitan lokasi geografi dan berhubung rapat dengan Kluster Jalan Lima seperti yang ditunjukkan dalam analisis filogenetik.
“Dua kes dipercayai dari Kluster Jalan Lima yang merupakan pekerja di salah sebuah syarikat berpengkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Walau bagaimanapun, cara penularan atau jangkitan varian B.1.351 kepada pekerja kes tersebut sukar untuk dikenal pasti dan disahkan.
“Satu kes pula adalah daripada Kluster Kebun Baru dan satu kes lagi adalah merupakan ahli keluarga kepada kes positif COVID-19 yang tinggal serumah.
“Susulan daripada penemuan pertama varian B.1.351 tersebut, lebih banyak ujian jujukan genom telah dijalankan dengan menggunakan sampel positif COVID-19 dari lokasi geografi termasuk daerah Kuala Langat dan daerah Sepang,” ujarnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

