SERAMAI 264,584 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama, 506,069 individu telah menerima suntikan dos pertama.
Kata beliau, ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini adalah 770,653.
Menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitternya hari ini, Dr Adham berkata, Selangor kekal sebagai negeri tertinggi menerima suntikan dos pertama vaksin iaitu 71,389, diikuti Perak (50,307) dan Sarawak (48,482)
BERITA BERKAITAN Hampir suku juta sudah lengkap dua dos vaksin – Dr Adham
Sabah pula merekodkan sebanyak 46,202, Kuala Lumpur (44,925), Johor (40,088), Pahang (34,109), Pulau Pinang (33,561), Kedah (30,536), Negeri Sembilan (24,867), Terengganu (24,516), Kelantan (22,680), Melaka (14,525), Perlis (9,855), Putrajaya (5,420) dan Labuan (2,607).
Sementara itu, Selangor turut mencatat jumlah individu teramai telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 iaitu 32,257, diikuti Sarawak (25,615) dan Kuala Lumpur (26,635).
Seterusnya adalah Sabah (21,542), Perak (26,662), Johor (19,423), Pahang (20,645), Kelantan (15,618), Kedah (15,698), Terengganu (13,237), Pulau Pinang (14,191), Negeri Sembilan (12,029), Melaka (7,484), Perlis (6,455), Putrajaya (3,774) dan Labuan (2,318).

Sementara itu, jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah seramai 7,769,449 atau 32 peratus dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,123,248 pendaftaran.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Program akan diteruskan bagi fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kurang upaya.
Fasa ketiga yang dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 pula adalah untuk kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

