WALAUPUN UMNO telah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), lain pula ceritanya dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MIC.
Dalam Perhimpunan Agung Ke-74 hari ini, Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran secara jelas memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan bekerjasama dengan Bersatu.
Pendirian itu, kata Vigneswaran, diambil MIC sementara menunggu perkembangan baharu daripada Dewan Tertinggi BN.
Beliau berkata, sebarang keputusan untuk bekerjasama dibuat secara musyawarah dalam kalangan parti komponen demi kepentingan rakyat.
Pada masa sama, Vigneswaran turut menegaskan BN seharusnya memanfaatkan kekuatan parti lain termasuk Bersatu bagi menghadapi PRU-15.
“Sebaiknya BN mencari kesepakatan dengan PN bagi mengelakkan pertembungan pada PRU-15.
“Tidak ada salahnya BN menerima parti lain yang berhajat menyertai gabungan berkenaan kerana BN perlu mengumpulkan semula kekuatan selepas kalah pada PRU-14,” katanya seperti dilapor BERNAMA.com.
Baca artikel berkaitan: Tiada lagi ‘dakwa-dakwi’, UMNO sebulat suara putus kerjasama dengan Bersatu – Zahid
Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berakhir Ahad lalu, parti itu dengan sebulat suara mempersetujui usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu yang menerajui kerajaan PN dalam PRU-15.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang akhbar selepas menggulung perbahasan juga memaklumkan perhimpunan itu meluluskan usul ahli Parlimen UMNO dan BN seramai 42 orang tidak akan bersama kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.
Ahmad Zahid menegaskan persetujuan yang dicapai pada perhimpunan itu menunjukkan UMNO kini tidak lagi berada di persimpangan dalam hal kerjasama politik parti tersebut.
Sementara itu, Vigneswaran juga meminta BN memastikan MIC diberikan kerusi yang boleh dimenangi dalam pilihan raya demi memastikan masyarakat India tidak ketinggalan daripada arus kemajuan.
Pembahagian kerusi katanya harus bersandarkan kepada realiti politik di peringkat akar umbi.
“Jangan cuba menghina kami dengan kerusi-kerusi pasti kalah kerana pelbagai faktor,” tegas Vigneswaran.
Perhimpunan MIC kali ini diadakan secara hibrid dihadiri lebih 2,000 perwakilan dengan 440 secara fizikal dan bakinya secara maya.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong turut hadir manakala Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN berucap secara maya.
Muhyiddin turut menyampaikan ucapan khas secara maya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

