PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Juara, Pulau Tioman, Pahang yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di lokaliti tersebut akan dilanjutkan bermula 7 hingga 20 April depan.
Beliau berkata, ia disebabkan masih terdapat penularan jangkitan dalam kalangan penduduk di kampung berkenaan.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak enam kes baharu telah direkodkan semalam.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 513 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 53 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Juara, Pulau Tioman, Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Lebih 80 peratus ingkar SOP PKP semalam sebab pusat hiburan
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan jumlah individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) sedikit berkurangan semalam kepada 137 berbanding 248 yang dicatatkan kelmarin.
Walau bagaimanapun, kata Ismail Sabri, aktiviti pusat hiburan kekal menjadi penyumbang tertinggi kepada penahanan iaitu melibatkan 71 individu.
Beliau memberitahu, seramai 114 individu telah dikompaun, 10 direman manakala 13 lagi dijamin daripada jumlah keseluruhan yang ditahan.
“Antara kesalahan yang direkodkan semalam termasuk rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (32); gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera (19); penjarakan fizikal (5) dan 10 lagi atas lain-lain kesalahan.
“Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 59,908 pemeriksaan semalam iaitu seramai 3,309 pasukan membabitkan 14,602 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.
“Semua pasukan pematuhan telah membuat pemantauan di 4,189 pasaraya, restoran (5,237), kilang (2,017), bank (3,740), pejabat kerajaan (829) dan penjaja (2,923).
“Turut dipantau ialah pasar awam/tani (2,543), tempat ibadah (3,214), tempat riadah (1,778), terminal pengangkutan darat (1,429), terminal pengangkutan air (384) dan terminal pengangkutan udara (128),” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

