1,139 kes baharu, Johor pula tiga negeri tertinggi

0
153

JOHOR menjadi antara tiga negeri tertinggi apabila melaporkan sebanyak 102 kes positif Covid-19 daripada 1,139 kes baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Sarawak mencatatkan kes tertinggi hari ini dengan 332 kes (29.1 peratus) dengan 276 kes daripadanya adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Beliau berkata, ini diikuti Selangor iaitu sebanyak 294 kes (25.8 peratus) dan Johor.

Katanya, 13 kes daripada keseluruhan kes baharu yang dilaporkan hari ini merupakan kes import melibatkan tujuh warganegara dan enam bukan warganegara.

“Kes sembuh pula berjumlah 1,199 kes manakala kes aktif terus turun kepada 14,907 kes.

“Seramai 194 individu memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 86 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebanyak empat kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan warganegara dengan dua kes dilaporkan di Sarawak dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 10 lagi kluster, Kelantan tiga negeri tertinggi catat kes baharu

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan sebanyak 10 lagi kluster baharu telah dikenal pasti hari ini melibatkan enam kluster tempat kerja, dua kluster komuniti serta masing-masing satu kluster pusat tahanan dan kluster import.

Empat daripada kluster yang dikesan hari ini adalah di Johor manakala masing-masing dua di Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak.

Beliau berkata, kluster pusat tahanan dan import dikesan di Johor iaitu melibatkan Tembok Choh Dua dan Highline.

“Sebanyak 64 kluster daripada 354 kluster aktif melaporkan pertambahan kes baharu hari ini.

“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Sungai Kawi iaitu sebanyak 119 kes, Kluster Jalan Padang Benggali (20 kes) dan Kluster Penjara Jalan Harapan (19 kes),” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram